‘Saya nasihatkan YB Teluk Intan lebih berhati-hati’



‘Saya nasihatkan YB Teluk Intan lebih berhati-hati’
February 4, 2025
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming diingatkan agar lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan berkaitan Islam supaya tidak menimbulkan kekeliruan dan sensitiviti dalam kalangan umat Islam, ujar Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas).

Beliau berkata, sebarang rujukan kepada agama Islam perlu dibuat dengan betul dan dalam konteks yang tepat, bukan untuk dipermainkan atau diperolok-olokkan.

“Saya melihat Yang Berhormat (YB) Teluk Intan suka menyentuh dan menyebut terma berkaitan Islam, tetapi ia perlu berhati-hati. Saya dengar kenyataan beliau sebelum ini, katanya mahu solat hajat.

“Solat hajat ini ibadat orang Islam, jangan disebut dalam konteks yang boleh menimbulkan kekeliruan.

“Kita tidak ada masalah jika seseorang merujuk kepada Islam dalam konteks akademik dan fakta yang benar, seperti yang dibuat oleh YB Bukit Mertajam atau YB Seremban. Tetapi YB Teluk Intan perlu lebih disiplin dalam perkara ini,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Ketua Penerangan PAS Pusat itu lagi, isu berkaitan agama bukan sesuatu yang boleh dibuat main atau digunakan untuk kepentingan politik.

“Islam bukan agama eksklusif, tetapi apabila disebut dalam konteks yang salah, ia boleh menimbulkan rasa kurang senang. Jadi saya nasihatkan YB Teluk Intan untuk lebih berhati-hati,” tegasnya.

Beliau turut mengingatkan kerajaan supaya lebih serius dalam mempertahankan jati diri negara dan tidak membiarkan sebarang unsur yang boleh mencetuskan keresahan dalam kalangan umat Islam. – HARAKAHDAILY 4/2/2025

Ulasan