Surat tuntutan Yeoh bukan hanya mengenai dakwaan 'anak YTL' - Razman



Berita
Surat tuntutan Yeoh bukan hanya mengenai dakwaan 'anak YTL' - Razman

Diterbitkan: Feb 14, 2025 9:23 PM
Dikemaskini: 9:23 PM

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, menjelaskan notis tuntutan daripada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, terhadapnya bukan semata-mata berkaitan dakwaan bahawa Yeoh mempunyai kaitan dengan pengasas YTL Corporation Berhad, Yeoh Tiong Lay.

Sebaliknya, katanya, terdapat dua bahagian kenyataannya yang di petik oleh Yeoh sebagai berunsur fitnah, dalam surat tuntutan yang dibuat melalui firma guaman Karpal Singh & Co pada 28 Jan lalu.

Menurut Razman, bahagian pertama adalah mengenai dakwaannya bahawa Yeoh merupakan ‘anak YTL’ yang mana dia dia telah pun memohon maaf serta menarik balik kenyataan tersebut.

Bagaimanapun katanya, bahagian kedua kenyataannya adalah mengenai risiko Yeoh sebagai menteri kabinet kerana terdapat pengakuan dia sebagai Duta Tuhan (kepada agama Kristian) untuk menyebarkan agama Kristian di Malaysia menerusi bukunya ‘Becoming Hannah’.

"Kenyataan saya di bahagian kedua ucapan ini tidak pernah di bangkitkan secara terbuka oleh YB Hannah Yeoh sebagai fitnah terhadap beliau melainkan beliau dan media sealiran dengan beliau hanya mengulang-ulang bahagian pertama dalam ucapan saya (yang saya telah menarik balik kenyataan tersebut dan meminta maaf atas kesilapan fakta tersebut).

"Saya percaya motif media pro-YB Hannah Yeoh (untuk hanya membangkit bahagian pertama ucapan saya) dibuat dengan niat jahat untuk merosakkan imej saya dengan dijadikan sasaran mudah untuk mengaburi mata orang awam daripada menyedari bahawa bahagian kedua ucapan saya adalah sesuatu yang benar tertulis dalam buku tersebut dan merupakan satu ancaman kepada kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

"Saya mendesak Malaysiakini dan media seumpamanya agar berlaku adil dalam pelaporan pemberitaan dengan menerbitkan kedua-dua Bahagian ucapan saya untuk di nilai pembaca," katanya dalam satu kenyataan.



Razman mengulas laporan Malaysiakini yang memetik peguamnya, Khairul Azam Abdul Aziz, bahawa dia telah menjawab tuntutan Yeoh dan bersedia berdepan pemimpin DAP itu dan peguamnya di mahkamah.

Razman menyifatkan laporan itu sebagai “berat sebelah” dan tidak memberikan gambaran sebenar mengenai notis tuntutan Yeoh.

Menurut salinan surat tuntutan bertarikh 28 Januari yang dilihat oleh Malaysiakini, Yeoh menuntut pampasan RM1 juta dan permohonan maaf terbuka atas dakwaan menyebarkan agama Kristian.

Dalam surat jawapan bertarikh 7 Feb yang dihantar kepada peguam Yeoh, Razman menafikan dia memfitnah ahli parlimen DAP itu dan mempertahankan kenyataannya atas alasan pembelaan justifikasi dan komen yang adil.

Pemimpin PAS itu menegaskan kata-katanya hanya berdasarkan fakta daripada buku memoir 'Becoming Hannah'.

Bulan lepas, Razman mengakui membuat kenyataan yang salah mengenai Yeoh dengan mendakwa dia adalah anak kepada pengasas YTL Corporation Berhad, Yeoh Tiong Lay, dan memohon maaf.

Ketika itu, dia turut menyatakan rasa kesal apabila Malaysiakini hanya menunjukkan kesilapannya tanpa menyentuh aspek lain dalam ucapannya yang berdurasi 30 minit.

Yeoh juga memfailkan saman terhadap pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Kamarul Zaman Yusoff, berhubung dakwaan penyebaran agama Kristian yang dikaitkan dengan bukunya pada tahun 2014.

Dalam masa yang sama dia sedang merayu keputusan dalam kes saman fitnah terhadap bekas Ketua Polis Negara, Musa Hassan, atas dakwaan yang sama.

Ulasan