
Syaaban: Pertukaran kiblat ke Kaabah
ANTARA peristiwa penting dalam bulan Syaaban adalah pertukaran arah kiblat dari Masjidil Aqsa di Palestin ke Masjidil Haram iaitu Kaabah di Mekah.
Oleh Mohd. Radzi Mohd. Zin
7 Februari 2025, 7:50 am
SYAABAN termasuk dalam bulan yang mulia dalam takwim Islam. Dalam bulan ini, umat Islam digalakkan memperbanyak amal soleh. Ia juga adalah bulan sebelum tibanya Ramadan al-mubarak.
Al-Hafiz Ibn Rajab dalam Lata’if al-Ma’arif berkata: “Oleh kerana Syaaban seperti mukadimah kepada Ramadan, maka disyariatkan padanya perkara yang disyariatkan pada bulan Ramadan seperti berpuasa dan membaca al-Quran, agar dapat bersiap sedia bagi menyambut Ramadan serta dapat membiasakan diri dengannya dalam usaha mentaati Allah SWT. (hlm 258)
Golongan salaf menghidupkan Syaaban dengan pelbagai amalan kerana Rasulullah SAW mengkhabarkan pada bulan itu segala amalan akan diangkat kepada Allah.
Usamah bin Zaid r.a berkata: “Aku pernah bertanya: “Wahai Rasulullah, aku tidak pernah melihat tuan berpuasa sepanjang bulan daripada seluruh bulan seperti tuan berpuasa pada bulan Syaaban?”
Baginda menjawab: “Itulah bulan yang manusia sering lalai daripadanya yang berada di antara Rejab dan Ramadan. Ia adalah bulan yang diangkat padanya semua amalan kepada Tuhan seluruh alam. Maka, aku suka untuk diangkat amalanku sedangkan aku dalam keadaan berpuasa.” (Riwayat Ahmad dan an-Nasa’i dengan sanad hasan)
Dalam hadis sahih, amalan kita di angkat setiap hari iaitu pada waktu Subuh dan Asar, setiap minggu hari Isnin dan Khamis dan setiap tahun pada bulan Syaaban. Maka itu, kita disunatkan berpuasa pada Isnin dan Khamis sebagaimana amalan baginda Nabi SAW.
Turut diriwayatkan doa pada malam itu adalah mustajab. Kata Imam as-Syafie dalam al-Umm: “Telah sampai kepada kami bahawa dikatakan: ‘Sesungguhnya doa adalah mustajab pada lima malam iaitu: malam Jumaat, malam Aidiladha, malam Aidilfiri, malam pertama Rejab dan malam Nisfu Syaaban’.” Kemudian beliau berkata: “Aku menganjurkan semua yang diriwayatkan tentang kelebihan malam-malam ini tanpa menjadikannya sebagai wajib.”
Satu lagi peristiwa penting dalam bulan Syaaban adalah pertukaran arah kiblat dari Masjidil Aqsa di Palestin ke Masjidil Haram iaitu Kaabah di Mekah. Ada riwayat menyebut ia berlaku pada 15 Syaaban.
Sebagaimana yang dinyatakan oleh ahli tafsir, Rasulullah ketika berada di Mekah menghadap ke Masjidil Aqsa dengan menjadikan Kaabah di hadapannya. Namun apabila berhijrah ke Madinah yang terletak di bahagian utara Mekah, baginda terpaksa membelakangkan Kaabah untuk menghadap Masjidil Aqsa. Ini kerana Madinah terletak di antara Mekah di selatan dan Masjidil Aqsa di Utara.
Ini mendatangkan rasa kurang senang Nabi SAW kerana baginda terpaksa membelakangkan Kaabah yang menjadi kiblat asal para nabi dan rasul sebelum baginda.
Hal ini berlarutan selama 16 ke 17 bulan sehinggalah Allah menurunkan firman-Nya yang bermaksud: Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang memandang ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling menghadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haram (tempat letaknya Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan kitab, mereka mengetahui perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar dari Tuhan mereka dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan. (al-Baqarah: 144)
Setelah diperintahkan untuk berpaling ke Kaabah, solat pertama baginda ialah solat Asar yang diikuti oleh beberapa sahabat. Sesudah itu, seorang sahabat keluar dari masjid itu dan melihat di dalam masjid yang lain orang sedang rukuk dan masih menghadap ke arah Baitulmaqdis.
Maka dia berseru: “Demi Allah, aku bersaksi bahawa aku telah bersolat bersama Nabi Muhammad SAW menghadap ke Kaabah di Makkah. Kemudian mereka yang bersolat itu terus berpusing menghadap ke Kaabah dalam solat itu juga.” (Riwayat Bukhari).
Ibnu Sa’ad di dalam kitab al-Tabaqat meriwayatkan Nabi SAW sedang melawat Ummu Bisyr bin al-Barra’ di kawasan Bani Salamah. Beliau menyediakan jamuan untuk Rasulullah dan sahabatnya. Apabila waktu solat Zuhur, baginda bersolat di masjid perkampungan itu.
Sedang baginda berada dalam rakaat yang kedua solatnya, turun wahyu memerintahkan menukar arah dari Masjidil Aqsa ke arah Kaabah. Baginda terus berpaling menghadap ke arah Kaabah ke sudut bertentangan dengan mizab (saluran emas) dengan pusingan 180 darjah dan terus menyambung solatnya.
Oleh sebab itu, masjid itu dinamakan Masjid Qiblatain yang masih lagi ada di Madinah. Ia juga menjadi salah satu lokasi lawatan jemaah umrah mahupun haji.
MALAM NISFU SYAABAN
Daripada Mu’az bin Jabalr.r.a, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Allah SWT melihat makhluk-Nya pada malam nisfu Syaaban kemudian mengampunkan semua makhluk-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan. (Riwayat Ibn Hibban)
Ibnu Rajab r.a mengatakan: “Berkaitan malam nisfu Syaaban, pada zaman dahulu para tabi’in daripada penduduk al-Syam, seperti Khalid bin Ma’dan, Makhul, Luqman bin Amir, dan beberapa para tabi’in yang lain memuliakannya (malam tersebut) dan mereka bersungguh-sungguh beribadah pada malam itu”. (Lathaif al-Ma’arif, 247)
Tentang kelebihan malam nisfu Syaaban adalah sabit berdasarkan hadis iaitu Allah akan turun ke langit dunia pada malam nisfu Syaaban dan mengampunkan hamba-hamba-Nya.
Tentang sambutan malam nisfu Syaaban, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang pada 23 November 2015 membuat keputusan seperti berikut:
Berdasarkan hadis-hadis Nabi, adalah wajar bagi umat Islam tidak melepaskan peluang mengambil dan merebut rahmat kurniaan Allah dengan cara beribadah seperti solat sunat, membaca al-Quran, berzikir, membaca doa nisfu Syaaban dan lain-lain lagi dengan memanjatkan kesyukuran atas limpahan nikmat Allah yang tiada terhingga banyaknya.
Oleh demikian, merayakan malam nisfu Syaaban dengan melakukan pelbagai ibadah yang membawa kepada keredaan Allah dan keampunan adalah sunat/mustahab hukumnya.
Tentang persoalan hukum berpuasa sunat selepas nisfu Syaaban (15 Syaaban). Pendapat yang tepat dalam hal ini adalah tidak ada halangan berpuasa selepas pertengahan Syaaban.
Berikut adalah irsyad hukum puasa pada Hari Nisfu Syaaban dan selepasnya menurut Jabatan Mufti Pulau Pinang :
Sunat puasa dalam bulan Syaaban secara amnya.
Dibolehkan puasa sunat pada hari nisfu Syaaban (15 Syaaban).
Dibolehkan puasa sunat pada 16-30 Syaaban bagi orang yang biasa puasa sunat sebelum itu.
Haram puasa sunat pada 16 hingga 30 Syaaban bagi orang yang tidak biasa puasa sunat sebelum itu.
Dibolehkan puasa wajib seperti qada, nazar dan seumpamanya pada 16 hingga 30 Syaaban.-UTUSAN
MOHD. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia.
Ulasan
Catat Ulasan