Tiada seorang pun Menteri ketika usul Titah Diraja dibahas
February 4, 2025
Foto Dewan Rakyat sekadar hiasan
KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini menyaksikan ketiadaan seorang pun Menteri dan Timbalan Menteri ketika perbahasan Usul Menjunjung Kasih atas titah ucapan Yang di-Pertuan Agong.
Situasi ini berlaku ketika Ahli Parlimen Pasir Mas, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari, sedang berucap pada sesi perbahasan tersebut kira-kira jam 5:30 petang dalam Persidangan Parlimen, hari ini.
Beliau dalam kesempatan ucapan perbahasan itu sempat menyuarakan kekecewaannya terhadap ketidakhadiran anggota pentadbiran kerajaan dalam Dewan tersebut.
“Saya ingin Dewan merekodkan bahawa pada saat ini, tidak ada seorang pun Menteri dan Timbalan Menteri di dalam Dewan,” katanya ketika mengambil bahagian dalam perbahasan menyokong usul junjung kasih tersebut.
Ketika itu, persidangan sedang dipengerusikan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Keadaan ini menimbulkan persoalan mengenai komitmen kerajaan terhadap perbahasan penting yang melibatkan titah ucapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Kehadiran menteri dalam sesi perbahasan amat penting bagi mendengar pandangan dan cadangan ahli-ahli Parlimen, lebih-lebih lagi ketika membahaskan titah Diraja yang menjadi asas hala tuju negara.
Ahmad Fadhli dalam ucapannya turut mempersoalkan sama ada kerajaan benar-benar serius dalam mendengar suara rakyat melalui wakil-wakil mereka di Dewan Rakyat atau hanya hadir ketika diperlukan sahaja.
Tindakan ketidakhadiran ini pasti akan menjadi perhatian rakyat, yang mengharapkan wakil kerajaan memberi tumpuan kepada perbahasan di Parlimen sebagai sebahagian daripada tanggungjawab mereka dalam menguruskan negara. – HARAKAHDAILY 4/2/2025
Ulasan
Catat Ulasan