Titah Adendum: Apa yang Kerajaan Madani takut sangat?
February 28, 2025
Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah dan Tengku Mahkota Pahang di di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan.
KUALA LUMPUR: Keengganan kerajaan menerima hakikat bahawa Titah Adendum wujud menyebabkan Perikatan Nasional (PN) mempersoalkan tindakan itu, selain keputusan kerajaan membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan berhubung isu itu.
Mahkamah Rayuan membenarkan prosiding semakan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung penolakan permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menjalani baki hukuman penjara enam tahun di bawah tahanan rumah.
“Sudahlah sebelum ini, kerajaan dengan bermacam-macam helah tidak mahu menjawab persoalan tentang kewujudan Titah Adendum, baik ketika dibangkitkan dalam Parlimen mahu pun menerusi surat yang dikemukakan oleh peguam pemohon terhadap enam responden, yang langsung tidak dijawab.
“Sekarang, semua Ahli Parlimen tidak dibenarkan untuk membangkitkan isu ini dalam Parlimen dan difahamkan juga, Peguam Negara membantah permohonan kami, Ahli Parlimen untuk menghantar Peguam Pemerhati. Persoalannya, apa yang mereka takutkan sangat?
“Apa nak jadi dengan Kerajaan Madani? Bukankah kerajaan ini diangkat oleh Al Sultan Abdullah untuk ditubuhkan Kerajaan Perpaduan. Kalau Tuanku yang mengangkat mereka pun tidak dihormati, apatah lagi rakyat biasa,” mengikut kenyataan bersama PN, hari ini.
Kenyataan itu ditandatangani oleh Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man; Pengerusi Perikatan Nasional Pahang, Dato’ Sri Saifuddin Abdullah dan Ketua Badan Perhubungan Negeri Bersatu Pahang, Dato’ Abdul Khalid Abdullah.
Mengikut PN, Al-Sultan Abdullah mengeluarkan Titah Addendum pada 29 Januari 2024 mengikut kuasa Baginda di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan ketika masih bersemayam sebagai Yang di-Pertuan Agong.
“Malangnya, Titah Diraja tersebut disorok hingga memaksa perkara ini diheret ke mahkamah. Sesudah Mahkamah Rayuan mengesahkan Titah Adendum wujud dan sahih, kerajaan melalui Peguam Negara masih tergamak memohon ke Mahkamah Persekutuan untuk menentang keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan. Apa maknanya semua ini?”
Kenyataan media bersama ini dikeluarkan sempena Himpunan ‘Pahang Bermunajat, Raja Berdaulat’ di padang Majlis Bandaraya Kuantan di sini, hari ini.
Ke bawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibn Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah telah berkenan berangkat ke Himpunan Pahang Bermunajat Raja Berdaulat yang berlangsung di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan.
Mengikut kenyataan itu, hari ini adalah detik bersejarah kerana rakyat berhimpun untuk menzahirkan ketaatan kepada Institusi Raja yang merupakan payung negara.
“Rakyat berhimpun untuk memperlihatkan taat setia kepada Ke bawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, AI Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah, Sultan yang memerintah Pahang dan kawasan jajahannya.
“Al-Sultan Abdullah merupakan Yang di-Pertuan Agong ke-16. Baginda bersemayam di atas takhta Yang di-Pertuan Agong bermula dari tarikh 31 Januari 2019 hingga 30 Januari 2024. Dalam tempoh itu, Baginda adalah pemerintah tertinggi negara sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.”
Mengikut PN, British walaupun penjajah tahu menghormati kedudukan dan martabat Raja-Raja Melayu dengan mengambil kira kedudukan Raja-Raja Melayu, Orang Melayu dan Pribumi serta kedudukan Agama Islam sebagai Agama Persekutuan ketika Perlembagaan Persekutuan dibentuk.
Bahkan menurut PN dalam laporan Suruhanjaya Reid 1957, Lord Reid memaklumkan dalam Parlimen di United Kingdom bahawa Raja-Raja Melayu kekal sebagai Raja-Raja Berperlembagaan dan kedudukan Raja-Raja Melayu kekal dengan martabat asal Baginda. – HARAKAHDAILY 28/2/2025

Ulasan
Catat Ulasan