Trump arah bantuan kewangan Afrika Selatan dikurangkan


Trump arah bantuan kewangan Afrika Selatan dikurangkan
DONALD TRUMP
Oleh WARTAWAN LUAR NEGARA
9 Februari 2025, 3:14 pm

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menandatangani satu lagi perintah eksekutif untuk mengurangkan bantuan kewangan kepada Afrika Selatan.

Berdasarkan data terkini, AS memperuntukkan hampir AS$440 juta (RM1.9 bilion) bantuan kepada Afrika Selatan pada 2023.

Menurut Rumah Putih, keputusan itu dibuat dipercayai berkaitan dasar tanah negara tersebut serta kes genosid yang difailkannya di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), melibatkan sekutunya, Israel.

Katanya, Washington juga akan merangka pelan untuk menempatkan semula petani kulit putih Afrika Selatan dan keluarga mereka sebagai pelarian.

Justeru, pegawai AS akan mengutamakan bantuan kemanusiaan termasuk kemasukan dan penempatan semula melalui Program Kemasukan Pelarian AS bagi rakyat Afrika di Afrika Selatan yang kebanyakannya merupakan keturunan pendatang Belanda dan Perancis.

Sabtu lalu, Kementerian Luar Negeri Afrika Selatan dalam kenyataan berkata, perintah eksekutif itu tidak mempunyai ketepatan fakta dan gagal mengiktiraf sejarah kolonialisme dan aparteid yang mendalam serta menyakitkan bagi Afrika Selatan.


“Ironinya, perintah eksekutif ini memberi status pelarian di AS kepada satu kumpulan di Afrika Selatan yang masih tergolong dalam golongan kaya sedangkan pelarian dari negara lain diusir dan dinafikan suaka walaupun menghadapi kesulitan sebenar,” katanya.

Selain itu, Trump turut mendakwa Afrika Selatan sedang merampas tanah dan golongan tertentu dilayan dengan teruk tanpa mengemukakan sebarang bukti.

Sementara itu, jutawan kelahiran Afrika Selatan, Elon Musk yang mempunyai hubungan rapat dengan Trump berkata, golongan berkulit putih Afrika Selatan menjadi mangsa undang-undang pemilikan berasaskan perkauman.

Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa menandatangani rang undang-undang pada bulan lalu, bagi memudahkan kerajaan mengambil alih tanah demi kepentingan awam, mempertahankan dasar tersebut dan menegaskan bahawa kerajaan tidak pernah merampas sebarang tanah.

Beliau menjelaskan bahawa dasar itu bertujuan mengurangkan jurang pemilikan tanah antara kaum dalam negara yang majoritinya berkulit hitam serta menegaskan bahawa Afrika Selatan ‘tidak akan dibuli’.

Washington turut membantah kes yang dibawa oleh republik berkenaan ke ICJ di mana ia menuduh Israel melakukan genosid susulan serangan ketenteraannya di Gaza yang telah mengorbankan puluhan ribu nyawa dan mencetuskan krisis kemanusiaan.

Israel menafikan dakwaan tersebut dengan menyatakan bahawa tindakan pihaknya adalah untuk mempertahankan diri selepas serangan maut oleh militan Hamas dari Palestin pada 7 Oktober 2023.

White House menjadikan kes itu sebagai contoh bagaimana Afrika Selatan mengambil pendirian menentang Washington dan sekutunya.

Perintah itu juga menyebut hubungan republik berkenaan dengan saingan Timur Tengah Washington iaitu Iran.

Ulasan