Turapan jalan raya tidak kualiti?


Turapan jalan raya tidak kualiti?
JALAN raya berlubang serta permukaan tidak rata bukan sahaja merosakkan kenderaan, malah berpotensi menjadi punca kemalangan yang meragut nyawa.
Oleh AIDIEL ZABIDI
17 Februari 2025, 6:50 am

PETALING JAYA: Isu kualiti turapan jalan raya yang sering menjadi rungutan pengguna seolah-olah tiada solusinya, walaupun pelbagai aduan dan cadangan telah disuarakan kepada pihak berkuasa.

Jalan raya berlubang serta permukaan tidak rata bukan sahaja merosakkan kenderaan, malah berpotensi menjadi punca kemalangan yang meragut nyawa.
Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa jalan raya di sekitar Ampang, Batu Caves dan Cheras mendapati, banyak laluan utama yang masih belum diselenggara dan dalam keadaan teruk sehingga membahayakan pengguna.

Menurut pengguna tetap laluan utama di kawasan tersebut, masalah jalan rosak tidak pernah selesai meskipun baik pulih dilakukan saban tahun.

Lebih menyedihkan, terdapat kes di mana kerosakan jalan ini membawa kepada kemalangan maut akibat hilang kawalan kenderaan.

Ketika tinjauan, terdapat seorang penunggang motosikal yang mengalami kemalangan kecil ketika mengambil selekoh di jalan yang tidak rata dan berlubang.

Hirendra Thomas, 18, berkata, dia tidak biasa melalui jalan tersebut, namun terpaksa menggunakan jalan itu kerana ia merupakan laluan singkat untuk ke rumah rakannya di Jalan Pandan, Ampang, Selangor.

“Saya baru sahaja menggunakan jalan tersebut dan tidak mahir dengan keadaan jalan berkenaan yang membuatkan saya kurang berwaspada.

“Sebelum mengambil selekoh, motosikal saya bergoyang-goyang disebabkan jalan tidak rata dan berbonggol membuatkan tayar hilang cengkaman dan terjatuh betul-betul di selekoh,” katanya.

Penduduk setempat, Thomas Sourimuthu, 48, berkata, jalan utama berdekatan rumahnya sering dibaik pulih dengan cara menampal namun selepas dua ke tiga bulan, ia kembali rosak.

“Kontraktor yang ditugaskan untuk membaikinya hanya menampal lubang tersebut tanpa mengambil kira spesifikasi laluan itu sehingga ia mengalami kerosakan berulang kali.

“Mengambil kira dari keadaan yang teruk seperti tidak rata, berbonggol dan berlubang, pihak berwajib sepatutnya membuat semula jalan terbabit agar kerosakan tidak berulang. Jika dibaiki berkali-kali, bukankah ia meningkatkan kos penyelenggaraan?” katanya.

Brothehood belanja simpanan sendiri RM500,000

Dalam pada itu, aktivis masyarakat, Azlan Sani Zawawi berkata, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Ikatan Silaturahim Brotherhood (Brotherhood) telah membelanjakan simpanan sendiri lebih RM500,000.

Perbelanjaan tersebut meliputi pembangunan makmal, kajian dan kenderaan hasil daripada dana dalaman yang dikumpul pihaknya sejak penubuhan pada 2007.

“Jangan sampai masyarakat lebih bergantung kepada NGO berbanding pihak berkuasa ekoran lambat bertindak dan tidak memberi solusi kekal,” katanya.

Ditanya berkenaan punca jalan rosak, Azlan atau lebih dikenali sebagai Lando Zawawi berkata, selain faktor kenderaan berat lebih muatan, spesifikasi jalan raya juga penting bagi ketahanan laluan terbabit.

Katanya, kenderaan muatan berat juga menyumbang kepada kerosakan lalu lintas, tetapi kontraktor bertanggungjawab harus menilai spesifikasi pembinaan dan prosedur operasi standard (SOP) penyelenggaraan.

“Belanjawan dikeluarkan kerajaan bagi membaik pulih lalu lintas sehingga jutaan ringgit, namun spesifikasi yang diterima amat mengecewakan,” katanya.

Menurutnya, struktur tanah dan keadaan cuaca sepatutnya dinilai sebelum menjalankan pembinaan jalan raya yang mungkin membawa kepada kerugian pada masa hadapan.

“Itu semua sepatutnya sudah ada penyelesaian termasuk proses penstabilan tanah dan saliran air sebelum pembinaan jalan tersebut.

“Saya akui kenderaan muatan lebih berat memberi potensi besar kepada jalan raya untuk lebih cepat rosak. Tetapi kalau spesifikasi pembinaan dan SOP penyelenggaraan pun dah salah, bagaimana?” katanya.

Sementara itu, Felo Perunding Gred UDC, Jabatan Kejuruteraan Awam Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Ratnasamy Muniandy berkata, jalan raya di negara ini mengalami beberapa siri pembaharuan walaupun masih menggunakan jenis bitumen.

“Bitumen telah digunakan sejak 70 tahun lalu, namun telah melalui beberapa proses modernisasi mengikut kepada kemajuan teknologi dan jumlah trafik yang kian meningkat setiap tahun.

“Banyak ujian yang dijalankan untuk memperbaharui bitumen seperti ujian penembusan, batu dan keadaan tanah,” katanya.

Tambahnya, jalan raya di negara ini juga mengalami beberapa inovasi bagi memenuhi piawaian penggunaan kenderaan di laluan tersebut.

“Jalan raya ketika ini ditambah aditif seperti polimer yang memberi kelikatan bagi batu-batu tersebut melekat dengan lebih kuat. Terbaharu, inovasi turapan jalan Stone Mastic Asphalt (SMA) yang menggunakan campuran plastik terpakai sudah digunakan secara meluas di Malaysia.

“Ketahanan produk itu terbukti apabila mampu mengatasi masalah jalan berlubang dan dapat meningkatkan daya tahan terhadap aluran atau bebanan kenderaan berat,” katanya.

Jangka hayat jalan raya mampu bertahan 20 tahun

Dalam pada itu, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menjelaskan jangka hayat jalan raya yang digunakan kini mampu bertahan sehingga 20 tahun.

Bagaimanapun, Pengarahnya, Prof. Dr. Siti Zaharah Ishak berkata, kebiasaannya jalan akan diturap semula selepas 10 tahun akibat daripada kerosakan yang berlaku.

“Antara punca utama kerosakan jalan adalah disebabkan kenderaan lebih muatan (overloading).

“Kenderaan lebih muatan dan isipadu kenderaan tinggi akan menyebabkan jalan tersebut tidak dapat menanggung beban ekoran ia melebihi daripada beban semasa reka bentuk dan akan merosakkan lapisan-lapisan di dalamnya,” katanya ketika dihubungi.

Selain itu, menurutnya, air juga bertindak sebagai ancaman struktur jalan dan tanah.

“Air akan bergerak ke dalam lapisan asfat (asphalt) melalui rongga yang terdapat pada jalan dan melembutkan lapisan bawah jalan seperti sub-base, base dan sub-grade seterusnya merosakkan lapisan permukaan.

“Hujan yang berpanjangan akan menyebabkan struktur jalan mengembang dan mengecut, seterusnya merosakkan laluan tersebut,” katanya.

Selain itu, jelasnya, pelbagai aplikasi telah dibangunkan oleh pihak berkuasa seperti MyJalan dan i-Tegur.

“Aplikasi sebegitu akan memudahkan proses pemantauan oleh pihak berkuasa jalan dengan menggunakan aduan yang dibuat oleh orang awam,” katanya. – UTUSAN

Ulasan