

Berita
ULASAN | Adakah regu Dollah-Zainal penawar buat FAM?
Diterbitkan: Feb 21, 2025 7:55 PMULASAN SUKAN | Belum terlambat lagi rasanya untuk kita mengucapkan tahniah kepada dua legenda bola sepak negara - Dollah Salleh dan Zainal Abidin Hassan - yang ‘menyertai semula’ keluarga FAM.
Pemilihan Dollah dan Zainal Abidin dalam Kongres Tahunan FAM Ke-61 baru-baru ini akhirnya menerbitkan semula rasa ceria dalam kalangan komuniti bola sepak tanah air.
Bagi peminat, inilah ‘perubahan terbaik’ dalam badan induk itu sejak sekian lama.
Jelas sekali perebutan jawatan naib presiden dan ahli jawatankuasa eksekutif (exco) FAM kali ini menarik tumpuan. Segala-galanya terarah kepada kehadiran Dollah dan Zainal Abidin sebagai calon.
Dan bukan omongan kosong lagi apabila mereka meraih undi tertinggi.
Senario ini sekadar memberi gambaran betapa popularnya Dollah dan Zainal Abidin berbanding calon lain hasil reputasi besar masing. Tambahan pula kedua-duanya pernah menggalas tugasan selaku ketua jurulatih skuad negeri dalam Liga Malaysia.
Andai mereka tidak bertanding pada hari berkenaan, pemilihan dalam kongres FAM pada kali ini mungkin nampak lebih sepi. Tambahan pula, jawatan presiden sudah pun dipastikan selepas Joehari Mohd Ayub menang tanpa bertanding untuk menggantikan Hamidin Mohd Amin.
Apakah ia memberi satu perspektif bahawa kehadiran Dollah-Zainal Abidin juga seperti akan membayangi Joehari selaku presiden baru FAM?
Kita harap ia tidaklah sampai ke tahap begitu.
Membantu ‘kabinet baru’
Apapun, biarlah masa menentukan segalanya. Mulai saat ini, mereka bertiga perlu bergandingan sebaik mungkin bagi mencari rumusan tepat dengan minda yang positif.
Yang penting ialah kita bersama-sama menjaga maruah bola sepak negara kerana pemimpin itu lazimnya akan datang dan pergi.
Pada ketika sama kita juga ghairah mahu melihat fungsi yang bakal diperagakan gandingan Dollah-Zainal Abidin dalam mesyuarat majlis atau exco nanti. Itulah detik terbaik untuk membuktikan mereka memiliki visi bagi membawa perubahan serta impak besar kepada negara.
Ramai pemerhati mahukan mereka bersuara lantang dalam usaha melonjakkan status skuad bola sepak kebangsaan (senior dan remaja), bukan bersifat ‘mudah bersetuju’ dengan segala arahan atau cadangan.
Dari satu lagi sudut positif, rasa-rasanya tugasan mencabar digalas Joehari juga mungkin dapat diringankan dengan kehadiran dua bekas pemain kebangsaan yang banyak pengalaman itu untuk membantu ‘kabinet baru’ sekali gus mengilhamkan sesuatu yang boleh membuka mata semua pihak.
Yang pasti, akhirnya kita sudah melihat pembabitan dua ikon sukan yang benar-benar menjiwai bola sepak, serta mengerti sepenuhnya asam garam permainan ini dari peringkat bawah sehingga ke atas.

Inilah yang diperlukan oleh FAM - mendapatkan sentuhan orang berpengalaman luas yang selama ini bagai diabaikan.
Seorang bekas pemain negara, Santokh Singh, pernah menyuarakan betapa bekas pemain negeri atau negara diperlukan membantu hajat dan mencorakkan misi FAM.
Dalam kenyataan pada 15 Dis 2016, Santokh berkata sangat penting untuk melihat bekas pemain diberi peluang berada dalam FAM kerana mereka mampu menjalankan peranan masing-masing secara berkesan berbekalkan pengalaman yang ada.
Tetapi saranan itu semacam tidak didengar oleh sesiapa selamanya, sehinggalah sekarang.
Untuk rekod, ada juga bekas pemain negara tersohor lain yang pernah memegang jawatan dalam FAM sebelum ini. Jamal Nasir Ismail, misalnya, pernah menjadi ahli Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Belia FAM satu ketika dulu.
Dia turut mengalu-alukan pembabitan secara langsung bekas pemain negara dalam FAM.
Adakah disenangi atau tidak
Begitu juga bekas kapten skuad negara, Soh Chin Aun, pernah mengalas tugasan selaku pengerusi jawatankuasa pengadil dan juga pengurus pasukan skuad kebangsaan dari 2007 sehingga 2009.
Tugasan mencabar bagi Dollah dan Zainal Abidin ialah membantu pentadbiran FAM mencari jalan memperbaiki kelemahan ketara liga tempatan ketika ini apabila ia terpalit dengan pelbagai krisis dan kepincangan berpanjangan.
Begitu juga aspek memantapkan program pembangunan skuad remaja kebangsaan dan juga kejohanan peringkat bawah umur.
Dollah juga difahamkan berkata, bakat tempatan kita masih ada dan perlu dicari seawal peringkat akar umbi sebagai jawapan kepada masalah pembentukan mantap skuad Harimau Malaya.
Dipercayai, dia juga turut menolak pandangan bahawa kehadiran pemain naturalisasi menjadi jalan penyelesaian kepada langkah membina skuad yang membanggakan semua.
Apakah pendirian Dollah dan Zainal Abidin akan kurang disenangi oleh supremo bola sepak negara?

Ia menjadi tanda tanya ketika ada pihak memberitahu, Joehari mahu menyambung usaha baik dan legasi ditinggalkan Hamidin.
Niat tersebut tidak salah dan memang begitulah yang kerap dilakukan oleh kebanyakan pemimpin baru - mengekalkan kesinambungan dalam pentadbiran selepas memenangi kerusi masing-masing.
Namun hakikat yang perlu diterima semua ialah, Joehari tiada pilihan kecuali perlu mengatasi pencapaian pemimpin terdahulu dan membuktikan kemampuannya sepanjang penggal pentadbiranya.
Itulah yang kita namakan sebagai kemajuan. Kalau hasilnya sama atau - lebih teruk - gagal, itu menghantar mesej terang dan jelas bahawa pemimpin terbabit masih ‘mengayuh basikal ke belakang’.
V ASHOK ialah bekas Pengarang Sukan dan Pengarang Berita Luar Negara di Berita Harian.
Ulasan
Catat Ulasan