Umat diprovokasi, Kerajaan Madani akur desakan?


Umat diprovokasi, Kerajaan Madani akur desakan?

Apabila garis panduan untuk orang Islam dikatakan tidak perlu
February 12, 2025

JOHOR BAHRU: Tidak seharusnya berlaku golongan bukan-Islam mendesak supaya garis panduan agama Islam yang ditetapkan kepada masyarakat Islam untuk menjaga kesucian akidah tidak dilaksanakan.

Ketua Penerangan PAS Negeri Johor, Abu Irfan Muhammad Al-Urduni mengulas polemik bantahan terhadap cadangan garis panduan baharu bagi majlis melibatkan umat Islam di rumah ibadat bukan-Islam.

“Adakah ini percubaan demi percubaan untuk memprovokasi umat Islam, sehingga akhirnya Kerajaan Madani akur dengan desakan mereka kononnya tidak perlu lagi garis panduan kerana Islam sudah difahami?” soalnya.

Menurutnya, Islam dibina atas keyakinan berpaksikan kepada ilmu dan kefahaman yang diakui tahap setiap orang pula pastinya berbeza-beza antara satu sama lain, justeru Islam meletakkan garis panduan dalam segala perkara.

“Ketahuilah garis panduan bererti tatacara disiplin yang perlu diikuti dalam sesuatu perkara. Jika peraturan dan disiplin tidak lagi dititikberatkan maka kegagalan dan kehancuran akan berlaku.

“Hal ini bertujuan menjaga kesucian Islam dan kesucian akidah umat Islam daripada dicemari oleh unsur syirik, kufur, khurafat dan sesat,” jelas beliau.

Menurut beliau, PAS Johor memandang serius perkara ini dan menyokong segala usaha yang dilakukan bagi mempertahankan kesucian akidah umat Islam.

Sehubungan itu, Abu Irfan turut mengingatkan kalangan bukan-Islam agar usah mencampuri urusan agama Islam dan berhenti daripada perbuatan melampau sebegitu.

“Islam agama rahmat untuk seluruh alam. Islam agama yang mengamalkan toleransi terhadap semua pihak. Perkara ini sudah difahami sejak lama dahulu,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, Islam menggalakkan amalan nasihat-menasihati dalam kehidupan ini dan lebih tegas daripada itu, amar makruf nahi mungkar iaitu menyuruh perkara baik dan mencegah mungkar.

“Tahniah diucapkan kepada pihak berkuasa agama negeri-negeri yang telah memperkenalkan garis panduan berkaitan perkara tersebut kepada rakyatnya. Ayuh bersama kita pertahankan kesucian akidah,” serunya. – HARAKAHDAILY 12/2/2025

Ulasan