Wajarkah jururawat bertugas 45 jam seminggu?



Wajarkah jururawat bertugas 45 jam seminggu?
KERAJAAN perlu melihat aspek kebajikan jururawat bagi mengelak beban tugas berlebihan supaya kualiti penjagaan kesihatan terjamin. – GAMBAR HIASAN
Oleh NORDIANNA SEMAN
9 Februari 2025, 6:30 pm

Jururawat merupakan tunjang utama dalam sistem kesihatan yang memainkan peranan penting dalam memastikan kesejahteraan pesakit dan kelangsungan perkhidmatan perubatan. Mereka bukan sahaja bertugas di hospital, juga di pelbagai fasiliti kesihatan yang memerlukan kepakaran khusus dalam bidang masing-masing.

Sumbangan mereka tidak boleh disangkal, kerana tanpa jururawat, sistem kesihatan negara berisiko lumpuh. Hal ini terbukti ketika pandemik Covid-19 melanda, apabila tanpa gentar dan tanpa mengenal lelah terus berjuang di barisan hadapan demi merawat pesakit yang memerlukan.

Baru-baru ini, timbul satu isu yang mencetuskan pelbagai reaksi daripada pelbagai pihak, terutama dalam kalangan jururawat yang bakal terkesan secara langsung.

Cadangan Kementerian Kesihatan untuk menetapkan waktu kerja 45 jam seminggu bagi jururawat dalam sistem syif telah mencetuskan perbincangan hangat, dengan pandangan yang bercampur-baur – ada yang menyokong, dan tidak kurang juga yang membantah. Cadangan ini berpaksikan usaha untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan melalui tempoh kerja yang lebih panjang.

Dipercayai dengan penambahan jam bekerja, masalah kekurangan jururawat, khususnya di hospital kerajaan yang sering berdepan dengan beban tugas yang tinggi, dapat dikurangkan.

Selain itu, cadangan ini juga bertujuan menyelaraskan waktu kerja jururawat dengan bidang lain yang turut bekerja 45 jam seminggu dalam sistem syif, selaras dengan Akta Buruh dan usaha standardisasi jadual kerja dalam pelbagai industri.

Adakah cadangan ini wajar dilaksanakan? Adakah adil untuk menyamakan beban kerja dan sifat tugas jururawat dengan industri atau bidang lain?

Hakikatnya, tugas seorang jururawat sangat dinamik, sentiasa berubah mengikut tahap keperluan pesakit dan persekitaran klinikal mereka. Beban kerja sedia ada sudah cukup mencabar, dengan tekanan tinggi yang perlu dihadapi setiap hari—terutama bagi mereka yang bertugas dalam sistem syif, termasuk syif malam dan hujung minggu.

Kajian menunjukkan bahawa keletihan akibat waktu kerja yang panjang boleh meningkatkan risiko kesilapan dalam tugas, yang akhirnya boleh mengancam nyawa pesakit. Jika keadaan ini berlanjutan, adakah kita sanggup menanggung akibatnya? Penambahan jam kerja bukan sahaja boleh menyebabkan keletihan melampau, tetapi juga berpotensi meningkatkan kesilapan yang lebih besar dalam penjagaan kesihatan.

Waktu kerja yang panjang bukan sahaja menjejaskan fizikal, malah memberi kesan besar terhadap kesejahteraan dan kesihatan mental jururawat. Keseimbangan antara kerja dan kehidupan – atau lebih dikenali sebagai work-life balance – semakin sukar dicapai.
Bagi jururawat yang berkeluarga, terutama yang mempunyai anak kecil, penambahan waktu kerja hanya akan membebankan mereka, menjadikan kehidupan peribadi sukar untuk disesuaikan.

Jika tekanan kerja semakin meningkat tanpa imbuhan yang setimpal, tidak mustahil ramai jururawat akan memilih untuk berhenti kerja, sama ada berpindah ke sektor swasta atau berhijrah ke luar negara yang menawarkan gaji lebih lumayan dan syarat kerja yang lebih baik.

Lebih membimbangkan, kadar burnout (luput upaya) dalam kalangan jururawat dijangka meningkat, mempercepatkan lagi kehilangan tenaga kerja mahir. Dengan peluang pekerjaan di luar negara yang semakin berkembang, negara kita berisiko kehilangan jururawat berpengalaman akibat kegagalan pengurusan yang kurang menghargai modal insan. Jika keadaan ini tidak ditangani dengan baik, sistem kesihatan kita mungkin berdepan krisis tenaga kerja yang serius di masa hadapan.

Justeru, cadangan untuk menambah waktu kerja jururawat kepada 45 jam seminggu dengan tempoh rehat selama sejam semasa bertugas perlu dikaji semula secara mendalam oleh pihak yang bertanggungjawab.

Hakikatnya, dalam persekitaran hospital yang penuh cabaran, masa rehat bukanlah satu jaminan, kerana jururawat sering mengutamakan kepentingan dan keselamatan pesakit melebihi keperluan diri mereka sendiri. Situasi

klinikal sentiasa berubah tanpa dapat diramal, menjadikan kebajikan pesakit sebagai keutamaan mutlak.

Sebagai alternatif yang lebih berkesan, kerajaan boleh mempertimbangkan langkah menambah bilangan jururawat bagi mengurangkan beban kerja individu, bukannya menambah jam kerja sedia ada.

Selain itu, peningkatan elaun dan insentif wajar diberikan bagi memastikan jururawat yang berpengalaman terus kekal dalam perkhidmatan, sekali gus mengelakkan kehilangan tenaga kerja mahir. Di samping itu, penyusunan sistem syif yang lebih fleksibel juga perlu diteroka, agar jururawat tidak terbeban dengan jadual kerja yang terlalu panjang dalam satu tempoh tertentu.

Meskipun cadangan ini mungkin mempunyai niat yang baik, pelaksanaannya perlu dilakukan dengan teliti. Kesan buruk terhadap kesihatan fizikal dan mental jururawat boleh memberi impak langsung kepada kualiti penjagaan pesakit. Oleh itu, langkah alternatif seperti menambah tenaga kerja dan memperbaiki sistem kerja mungkin lebih praktikal dan berkesan dalam jangka panjang. – UTUSAN

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam.

Ulasan