
Zionis 'diam-diam' duduki Tebing Barat
25 Februari 2025 08:30am
Masa membaca: 3 minit
RAMALLAH - "Pasukan Pertahanan Israel (IDF) akan mengekalkan kedudukan di kem pelarian Palestin di Tebing Barat untuk tahun akan datang."
Pengumuman itu dibuat Tel Aviv pada Ahad ketika ia mengumumkan kempen pencerobohan ke atas wilayah itu diperluaskan termasuk mengerahkan unit kereta kebal setelah puluhan ribu penduduk Palestin dipaksa meninggalkan kediaman masing-masing.
Kira-kira sebulan lalu, IDF melancarkan kempen serbuan ganas berskala besar di Tebing Barat tidak lama selepas perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa di Genting Gaza.

Jengkaut Zionis mengorek jalan utama ketika serbuan ganas ke atas kem Tulkarem.
Ketika komuniti antarabangsa memberi tumpuan terhadap idea gila Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mahu mengambil alih Gaza dan melakukan pemindahan paksa ke atas penduduk Palestin di wilayah itu, Zionis secara 'diam-diam' membuat rancangan jahat untuk menduduki Tebing Barat.
Operasi ketenteraan itu diperluaskan ke beberapa kem pelarian Palestin berhampiran bandar Jenin, Tulkarem dan Tubas.
"Setakat ini, kira-kira 40,000 penduduk Palestin telah dipaksa berpindah dari kem Jenin, Tulkarem dan Nur Shams yang kini tiada lagi penghuni. Saya telah mengarahkan penempatan IDF di sana untuk tempoh yang agak lama.

IDF merampas kawalan di laluan utama yang menghubungkan ke kem pelarian Palestin.
"Ia juga bertujuan untuk menghalang penduduk Palestin kembali ke rumah mereka selain mengekang kebangkitan semula gerakan penentang," kata Menteri Pertahanan, Israel Katz dengan angkuh.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), serbuan ganas itu telah meragut sekurang-kurangnya 51 nyawa penduduk Palestin termasuk tujuh kanak-kanak.
Di bawah kempen pencerobohan yang diperluaskan itu, unit kereta kebal telah dikerahkan ke Jenin.
Difahamkan, ia adalah pertama kali penempatan unit tersebut dibuat sejak berakhirnya Intifada Kedua (kebangkitan) pada 2005.
"Briged Nahal (infantri) bersama Unit Duvdevan (elit) telah mula dikerahkan ke perkampungan lain di utara Tebing Barat.
"IDF juga akan meneruskan operasi mereka di Jenin dan Tulkarem," ujar Katz lagi ketika mengumumkan kempen pencerobohan itu meskipun ditentang negara-negara Islam.
Situasi yang semakin meruncing di Ramallah berlaku, dua hari selepas Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu mengadakan lawatan ke Tebing Barat dan mengarahkan askar Zionis supaya memperhebatkan lagi operasi ketenteraan di Tebing Barat yang diduduki Israel sejak 1967.

Kira-kira 40,000 penduduk Palestin terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing sejak lebih sebulan lalu.
Kunjungan ke kem pelarian Tulkarem berkenaan turut mencetuskan kecaman penduduk Palestin, namun tidak dihiraukan pemimpin 'ekstremis' itu.
Di Tulkarem dan Jenin, IDF telah melancarkan kempen perobohan berskala besar bersama unit jengkaut dan meletupkan kediaman penduduk serta membuka akses laluan baharu untuk penubuhan 'pangkalan tentera' yang dirancang mereka.
Keganasan di Tebing Barat semakin meningkat sejak perang genosid ke atas Gaza tercetus pada Oktober 2023 dan kira-kira 900 penduduk Palestin menjadi korban kezaliman Zionis sepanjang tempoh lebih 15 bulan. - AFP
Ulasan
Catat Ulasan