
287,851 ahli baru PAS dalam tempoh sembilan tahun
March 9, 2025
KUALA LUMPUR: PAS terus menerima sambutan positif daripada rakyat Malaysia apabila seramai 287,851 ahli baharu telah menyertai parti itu dalam tempoh sembilan tahun sejak 2016.
Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang berlangsung lewat petang semalam, sebanyak 2,420 permohonan keahlian baharu telah diluluskan.
“Jumlah 2,000 boleh dikatakan sebagai jumlah ahli baharu yang konsisten diterima pada setiap bulan dan biasanya akan diumumkan kepada awam sejurus selepas mesyuarat telah selesai.
“Tahun ini sahaja, sebagai contohnya seramai 2,031 ahli baharu pada bulan Januari dan 2,280 orang pada bulan Februari. Bermakna tahun ini sahaja seramai 6,731 orang ahli baharu telah diluluskan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, angka rasmi jumlah keahlian PAS diumumkan dalam Muktamar Tahunan PAS setiap tahun oleh Setiausaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, sama ada secara lisan atau menerusi laporan bercetak.
Menurut Khairul Faizi, kemasukan ahli baharu yang tinggi biasanya diumumkan melalui media sosial pimpinan PAS Pusat.
“Ada masanya kurang dari 2,000 tapi PAS tetap akan umumkannya. Di antara yang konsisten adalah Datuk Ustaz Idris Ahmad, Naib Presiden PAS.
“Tahun lalu, seramai 21,784 ahli baharu telah didaftarkan, dengan kiraan purata 1,815 orang pada setiap bulan. Dalam tempoh sepuluh tahun terakhir ini, tahun 2019 mencatatkan jumlah ahli baharu teramai iaitu sejumlah 46,560 orang,” katanya.
Beliau turut berkongsi bahawa sejak Januari 2016 hingga Disember 2024, seramai 278,851 ahli baharu telah didaftarkan, menggambarkan sokongan rakyat Malaysia terhadap parti itu semakin meningkat.
Jumlah itu jelasnya tidak termasuk ahli daripada Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) yang masih berstatus penyokong.
Katanya, sekiranya status DHPP dinaik taraf kepada Ahli Bersekutu PAS, jumlah keahlian parti itu dijangka melonjak lebih tinggi. – HARAKAHDAILY 9/3/2025
Ulasan
Catat Ulasan