
Al-Quran petunjuk kehidupan, tegak negara berdaulat
March 20, 2025
ALOR SETAR: Al-Quran yang diturunkan oleh Allah SWT pada bulan Ramadan menjadi petunjuk kepada manusia dengan keterangan untuk menjelaskan serta membezakan perkara betul dan salah.
Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, Ramadan merupakan bulan yang mulia serta menjadi tetamu Allah SWT, maka wajarlah dihidangkan dengan makanan rohani dan jasmani.
Malah katanya, makanan roh dan jasad pada bulan mulia itu bukan sahaja ibadat puasa, sebaliknya juga ibadat-ibadat lain yang besar ganjaran Allah SWT, sepertimana dinyatakan-Nya di dalam Al-Quran.
“Setiap amal diberi pahala. Satu kebajikan digandakan sepuluh kali ganda. Tetapi pahala puasa yang dinyatakan oleh Allah, terserah pada-Nya dan Dialah akan menentukan balasan berapa banyak pahalanya,” kata beliau.
Perkara itu disampaikan beliau menerusi rakaman video, sempena Majlis Nuzul Al-Quran PAS Kedah, di Kompleks PAS, Kota Sarang Semut, di sini malam kelmarin.
Tuan Guru juga berkata, makan minum ketika berbuka dan bersahur juga akan diberi keberkatan dan memperolehi pahala, apatah lagi diiringi ibadat-ibadat lain mengabdikan diri kepada Yang Maha Esa.
Semua amalan yang dilakukan ujarnya, terutama di bulan Ramadan, tidak lain hanya menyatakan sifat hamba kepada Allah serta sanggup menunaikan segala perintah-Nya.
“Tidak harus bagi seorang beriman lelaki dan perempuan apabila Allah dan Rasul-Nya memutuskan sesuatu perkara lalu dia membuat pilihan yang lain.
“Sedangkan setiap masa yang dikorbankan untuk mengerjakan ibadat itu akan melahirkan sifat sabar serta bersyukur kepada-Nya. Allah beri nikmat Islam dan sabar untuk menghadapi ujian berpuasa.
“(Yang) bukan sahaja melatih diri kita meninggalkan kepuasan hawa nafsu yang dihalalkan pada bulan yang lain,” jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Marang.
Tegasnya lagi, Allah pilih bulan ini (Ramadan) diturunkan Al-Quranul Karem iaitu petunjuk kepada manusia dalam semua perkara.
Manakala katanya lagi, Allah SWT mengutuskan Nabi Muhammad SAW untuk menerangkan kepada umat-Nya bagaimana beramal dengan keseluruhan Al-Quran.
Iaitu jelasnya, bermula daripada mengucap dua kalimah syahadah, berkeluarga, makan, minum, berpakaian dan lain-lain hinggalah cara menjalani kehidupan termasuk menegakkan negara yang berdaulat.
“Allah SWT pilih bulan Ramadan, berlakunya hari membezakan benar dan salah, apabila musuh-musuh Islam melancarkan serangan terhadap
Nabi SAW dan para sahabatnya iaitu dalam perang Badar.
“Perang Badar merupakan satu ujian yang getir dan dahsyat kerana orang Islam pada masa itu jumlahnya sedikit. Sangat lemah. Senjatanya tak cukup, hartanya tak banyak namun mereka percaya kepada Allah SWT,” sambungnya lagi.
Jelas Tuan Guru, perang Badar merupakan ujian yang dahsyat kepada Nabi Muhammad SAW dan orang Islam ketika itu apatah lagi, keadaan tentera Islam hanya berjumlah 313 orang, sedangkan tentera musyrikin
jauh lebih besar jumlahnya.
Beliau turut menceritakan bagaimana kepatuhan Sahabat-sahabat Baginda ketika itu yang akur dengan sebarang keputusan Rasululullah SAW.
“Malah kata mereka (Sahabat Rasulullah), mereka tidak mahu menjadi seperti kaum Bani Israel yang enggan bersama Nabi Musa untuk masuk ke Palestin berperang dengan kaum Jabalin yang jumlahnya beribu-ribu orang.
“Maka berlakulah perang Badar pada Ramadan tahun kedua Hijrah menyaksikan jumlah musuh tiga kali ganda berbanding tentera Islam,” tambahnya.
Perang Badar juga ujarnya, mendidik umat Islam agar sentiasa bergantung harap dan berdoa kepada Allah memohon bantuan dari-Nya.
Rasululullah SAW tegasnya, tidak berhenti berdoa hingga pada pagi berlakunya Perang Badar kerana sekiranya binasalah bala tentera yang
sedikit jumlahnya ini, maka tiada orang yang akan mengabdikan diri dan menyembah Allah lagi.
“Memperhambakan diri menegakkan Islam adalah perkara utama kerana yang menyelamatkan semua, diri kita, keluarga, harta, tanah air adalah Islam.
“Pertahankan Islam, semuanya selamat. Diri kita selamat, harta kita selamat, anak pinak, kita selamat. Tanah air kita selamat.
“Kalau tak tegakkan Islam, jahiliah akan tertegak, kita tak selamat dunia dan akhirat. Memperhambakan diri kepada Allah. Sanggup mati, sama ada menang ataupun mati syahid. Tidak berundur dalam perjuangan ini.
“Ini sikap yang diteruskan oleh para Sahabat dalam menentang musuh yang lebih besar,” tegas bekas Naib Presiden Kesatuan Ulama Sedunia itu. – HARAKAHDAILY 20/3/2025
Ulasan
Catat Ulasan