Apa langkah mitigasi tangani perbelanjaan luar jangka
March 24, 2025
Senator Dr Wan Martina Wan Yusof
KUALA LUMPUR: Senator Dr. Wan Martina Wan Yusoff membangkitkan persoalan mengenai langkah-langkah mitigasi kerajaan dalam menguruskan perbelanjaan luar jangka, khususnya berkaitan bencana alam dan perubahan iklim yang semakin tidak menentu.
“Perbelanjaan luar jangka sering berlaku, oleh itu saya ingin bertanya apakah langkah-langkah mitigasi yang diambil oleh kerajaan dalam menyediakan anggaran pembelanjaan luar jangka yang berlaku dan juga komitmen pembiayaan oleh kerajaan.
“Contohnya, dunia sedang mengalami perubahan iklim yang tidak menentu, tidak ketinggalan negara kita. Cuaca yang tidak menentu mengakibatkan bencana alam dan banjir yang menyebabkan kerugian besar serta implikasi kepada perbelanjaan tambahan yang signifikan. Oleh itu, satu perancangan dan kajian lebih awal diperlukan,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2024) 2025 di Dewan Negara, hari ini.
Selain itu, beliau turut menyentuh soal subsidi yang boleh dianggarkan jumlahnya berdasarkan data sedia ada bagi membantu penyediaan belanjawan supaya tiada keperluan untuk peruntukan tambahan.
“Persoalan saya, sejauh mana kesan penyelarasan subsidi agar ia tidak menjejaskan kehidupan rakyat di sebalik tekanan ekonomi global yang meningkat? Kenaikan tarif oleh AS serta ketidaktentuan harga bahan mentah berpotensi meningkat semula.
“Bagaimana kerajaan memastikan keberkesanan penyaluran bantuan langsung dan tidak langsung melalui mekanisme yang padu? Sejauh manakah kerajaan melihat bantuan tunai sebagai kaedah penyaluran bantuan jangka pendek ataupun panjang?” soalnya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan usaha kerajaan dalam menambah baik sistem pengundian pilihan raya agar lebih cekap dan menjimatkan kos.
“Pada tahun 2024, beberapa pilihan raya kecil (PRK) terpaksa dilaksanakan di luar jangka dan kita memahaminya. Tetapi setiap tahun PRK ada sahaja berlaku. Oleh itu, kerajaan perlu menyediakan peruntukan yang munasabah semasa menyediakan belanjawan tahunan.
“Dalam mengurangkan perbelanjaan pilihan raya, adakah kerajaan sudah membuat kajian untuk menambah baik proses pengundian? Adakah terdapat kajian mengenai pelaksanaan e-voting dengan mengambil kira aspek keselamatan, kos, serta kesesuaian kepada pengundi?” ujarnya. – HARAKAHDAILY 24/3/2025
Ulasan
Catat Ulasan