
Aset Melayu miskin bandar akan terjual kepada si kaya
March 8, 2025
KUALA LUMPUR: Jurang ekonomi antara golongan miskin dan kaya semakin melebar akibat pemilikan tanah yang semakin berkurangan dalam kalangan rakyat berpendapatan rendah.
Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, golongan miskin sering mengalami kekurangan wang sehingga terpaksa menjual aset mereka termasuk tanah bagi mendapatkan tunai, yang akhirnya dibeli oleh golongan kaya yang memiliki lebih banyak sumber kewangan.
“Tiap hari berpuluh ekar tanah milik orang miskin dalam dan luar bandar dijual pada orang kaya. Orang miskin terpinggir di luar bandar dan orang kaya akan memiliki seluruh bandar. Undang-undang pembaharuan bandar akan percepat proses ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelas beliau lagi, hal ini secara tidak langsung meningkatkan nilai tanah tersebut, sedangkan bekas pemiliknya hanya mampu melihat keuntungan yang diperoleh oleh pembeli yang lebih berkemampuan.
“Dengan itu nilai tanah akan meningkat. Si miskin akan lihat dengan putih mata tanah yang telah dijual menguntungkan pembeli yang kaya. Maka yang miskin jadi lebih miskin, yang kaya lebih kaya. Tak cakap berkenaan 3R,” ujarnya.
Kenyataan itu dilihat mencerminkan kebimbangan beliau terhadap nasib golongan kurang berkemampuan yang semakin terpinggir dalam arus pembangunan pesat negara khususnya dalam kawasan bandar.
Walaupun tidak menyatakan khusus mengulas kepada mana-mana pihak, kenyataan beliau itu jugadilihat berkait cadangan yang mahukan kaum bukan Bumiputera diberi peruntukan 10 peratus daripada diberikan kepada Bumiputera.
Selain itu, kenyataan tersebut dipercayai kesinambungan daripada kebimbangan disuarakan Tun terhadap nasib orang Melayu mungkin terkeluar daripada bandar susulan kerajaan bakal mengadakan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA). – HARAKAHDAILY 8/3/2025
Ulasan
Catat Ulasan