
Bawa suara rakyat lebih penting daripada jaga pemimpin atasan - Dr Akmal
Oleh Aizat Sharif - Mac 11, 2025 @ 9:39am
Dr Akmal (tengah) bersama Ketua Pemuda UMNO Perlis, Saiful Fariddil Jasmi (kiri sekali) menyantuni anak muda dan pengunjung Dataran Kangar Jaya semasa Santai Moreh Bersama Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh anjuran Pemuda UMNO Perlis di Kangar Jaya, semalam. - Foto NSTP/Aizat Sharif
KANGAR: Isu 'kelompongan' komunikasi di antara gerakan sayap pemuda parti dalam Kerajaan Perpaduan tidak berbangkit, sebaliknya usaha membawa suara rakyat bawahan menerusi teguran adalah jauh lebih penting daripada sekadar terus menjaga pemimpin di atas.
Malah, Pemuda UMNO bertekad terus konsisten menjadi 'semak dan imbang' kepada kerajaan mahupun pembangkang daripada sekadar membawa suara pemimpin di atas sahaja.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata prinsip pergerakan itu adalah bercakap mengenai suara rakyat tanpa ada rasa takut dan gentar.
"Mungkin suara rakyat itu pedih untuk kita terima tapi sebenarnya apa yang jauh lebih penting adalah kita kena terima dan perbaiki dan dalam hal ini kita konsisten membawa suara rakyat bawahan dan yang penting suara Umno bukan membawa suara pemimpin atasan.
"Malah dalam hal ini juga, kita menjadi 'semak dan imbang' kepada kerajaan mahupun kepada pembangkang di mana wujud isu dalam kerajaan yang rakyat tidak berasa gembira, maka sebagai Pemuda UMNO, kita kena bawa suara mereka tanpa rasa takut dan gentar terhadap mana-mana pihak," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Santai Moreh Bersama Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh anjuran Pemuda UMNO Perlis di Dataran Kangar Jaya, di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pemuda AMANAH, Senator Mohd Hasbie Muda yang mendakwa wujud 'kelompongan' dalam komunikasi di antara gerakan sayap pemuda parti dalam Kerajaan Perpaduan.
Perkembangan didakwa disebabkan ketiadaan platform rasmi ditubuhkan di bawah Sekretariat Kerajaan Perpaduan untuk sayap pemuda sehingga mewujudkan beberapa pergeseran membabitkan pemimpin parti dalam kerajaan saling menghentam satu sama lain.
Ini adalah susulan kekesalan Pemuda AMANAH terhadap Pemuda UMNO Selangor yang didapati menghentam Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu, yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berikutan isu kekurangan beras tempatan di pasaran.
Mengulas kembali tindakan Pemuda UMNO Selangor itu, Dr Muhamad Akmal berkata, Ketua Pemuda UMNO Selangor itu sendiri sudah ke Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Timbalan Ketua Pemuda Amanah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Danial Al-Rashid Haron Aminar Rashid di Shah Alam pada Jumaat lalu tetapi didapati tutup.
"Saya sudah tengok hari itu, Ketua Pemuda UMNO Selangor pun dah bawa berbincang, datang ke pejabat pun tiada disebabkan Jumaat tutup jadi tidak mengapalah, mungkin dia takut atau dia tak nak berbincang.
"Dalam hal ini, kita mengalu-alukan (perbincangan) dan bagi saya mudah saja, kalau kata kita bawa suara rakyat selagi mana itulah prinsip kita, maka hormat prinsip itu maka kita boleh berkawan dengan sesiapa sekalipun.
"Ini bukan isu kita tidak hormat institusi atau tidak hormat pemimpin tetapi sepatutnya sebagai pemimpin, kita harus mendengar suara rakyat kerana itu jauh lebih penting daripada kita sekadar hendak jaga pemimpin di peringkat atas sahaja," katanya.
Beliau berkata, isu yang wujud tidak ada kena mengena berhubung soal koordinasi sayap pemuda dalam Kerajaan Perpaduan sebaliknya adalah soal bagaimana suara rakyat di bawah untuk dibawa ke pemimpin.
"Sebagai pemimpin muda, jangan jadi umpama lembu dicucuk hidung, sebagai pemimpin muda kita kena berani bawa suara rakyat kepada pemimpin kita di atas jadi itulah prinsip pemuda UMNO," katanya.
Ulasan
Catat Ulasan