Bekalan Beras Putih Tempatan masih kurang


Bekalan Beras Putih Tempatan masih kurang
March 4, 2025

Nadzir Helmi

KUALA LUMPUR: Walaupun Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan bahawa bekalan Beras Putih Tempatan (BPT) bersubsidi akan berada di pasaran seluruh Semenanjung Malaysia mulai 1 Mac lalu, situasi semasa menunjukkan sebaliknya apabila bekalan masih tidak mencukupi di banyak kawasan.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nadzir Helmi berkata, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM150 juta bagi menstabilkan bekalan dengan sasaran pengeluaran 24 juta kampit 10 kilogram BPT bagi menampung permintaan pasaran dan mengekalkan harganya pada kadar RM2.60 sekilogram.

Namun katanya, tinjauan Pemuda PAS Malaysia mendapati masih terdapat banyak aduan daripada rakyat bahawa bekalan beras tempatan belum tersedia secara meluas di pasaran.

“Menurut laporan, terdapat penjualan BPT di beberapa pasar raya di Terengganu, Kedah, dan Perlis, tetapi pengedaran dilihat tidak menyeluruh dan mengalami kelewatan.

“Keadaan ini menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan mekanisme pengagihan yang dirancang oleh kerajaan, terutama dalam memastikan kumpulan sasar mendapat manfaat seperti yang dijanjikan,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini .

Nadzir berkata, Pemuda PAS Malaysia turut menerima aduan bahawa beberapa kawasan, termasuk di Kedah, masih berdepan dengan kekurangan bekalan BPT.

Sehubungan itui, beliau menggesa kerajaan, terutama KPKM dan pihak berkuasa berkaitan, segera memberikan penjelasan berhubung kelewatan ini serta mengambil langkah konkrit bagi memastikan rakyat mendapat akses kepada beras bersubsidi secara adil dan menyeluruh.

“Pemuda PAS Malaysia juga menuntut ketelusan dalam pelaksanaan subsidi ini bagi mengelakkan sebarang ketirisan yang boleh merugikan rakyat. Kerajaan perlu mempertingkatkan pemantauan dan penguatkuasaan dalam rantaian bekalan beras bagi memastikan tiada manipulasi harga atau penyimpanan stok yang boleh menjejaskan bekalan kepada pengguna,” katanya.

Beliau turut memberi amaran agar isu “beras ghaib” yang pernah berlaku sebelum ini tidak berulang dengan tindakan tegas perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan di atas subsidi kerajaan demi kepentingan peribadi.

Katanya, Pemuda PAS Malaysia berharap kerajaan dapat segera menyelesaikan isu ini bagi memastikan rakyat tidak terus dibebani dengan kesulitan mendapatkan bahan makanan asas seperti beras. – HARAKAHDAILY 4/3/2025

Ulasan