Belian online, ikut keperluan bukan kemahuan


Belian online, ikut keperluan bukan kemahuan
Oleh Imran Mohamad Nor
14 Mac 2025, 7:20 am

BERBELANJA secara dalam talian (online) menjadi trend terkini dalam kalangan shoppingholic. Pastinya harga lebih murah berbanding belian secara fizikal di pusat membeli-belah atau di kedai-kedai jalanan menjadi faktor utama mereka beralih belian di alam maya.

Boleh dikatakan lebih 60 peratus rakyat Malaysia kini beralih ke paltform e-dagang. Peningkatan pembelian secara online didapati ketara dalam kalangan mereka berusia antara 18-24 tahun dan turut merangkumi usia 30-50 tahun.

Kaedah pembelian online juga dilihat paling cocok dengan perubahan gaya hidup yang semakin sibuk. Ia bukan sahaja menjimatkan masa (tidak perlu menempuh kesesakan jalan raya sehingga berjam-jam), malah tidak juga perlu bersesak-sesak di pusat membeli-belah.

Antara faktor lain yang menarik minat pembeli platform e-dagang ini ialah mereka tidak perlu terburu-buru, lebih rileks, santai dan tenang untuk membuat pilihan barangan yang ingin dibeli sambil menghirup secawan kopi di rumah, pejabat atau di mana saja mereka berada.

Menurut kajian yang dilakukan oleh IPSOS Malaysia pada tahun 2024, antara barangan yang paling laris dijual secara online ialah fesyen dengan catatan jualan 59%, barangan runcit (46%), aksesori dan produk penjagaan rumah (42%), produk kecantikan dan kosmetik (35%), peranti elektronik (25%), produk penjagaan diri (21%), produk penjagaan kesihatan (20%) dan perkakas rumah (19%).

Bagaimanapun, pembeli harus ingat bahawa di sebalik kebaikan belian secara dalam talian ini, terselit juga keburukan yang harus pembeli tahu, antaranya kualiti barangan.


Dalam hal ini, pembeli harus bijak membuat penilaian barangan yang ingin dibeli agar tidak tertipu dengan gambar-gambar dan deskripsi barangan yang dipaparkan di online. Ramai pembeli yang sudah tertipu dengan barangan yang dijual. Gambar barangan kelihatan cantik dan tulen tetapi barangan yang sampai di rumah tidak berkualiti.

Pembeli harus ingat, barangan yang dihantar ke rumah, perlu dibayar terlebih dahulu (cash on delivery payment) dan pembeli tidak dibenarkan membuka dan melihat barangan sebelum dijelaskan bayarannya.

Selain itu, satu-satu produk yang kita beli juga tidak dapat diuji. Di sinilah unsur penipuan mungkin boleh terjadi jika penjual tidak jujur.

Pernah seorang kawan tertipu. Seluar golf yang dibelinya secara online, selepas dibuka bungkusan didapati seluar joging. Seorang lagi teman beli kasut kulit original, yang sampai kasut pvc. Justeru, dinasihatkan pembeli harus berhati-hati. Tetapi jika berlaku hal begini, pembeli boleh buat laporan kepada penjual atau tribunal pengguna.

Masalah lain ialah kos penghantaran. Membeli-belah secara online juga memerlukan kos penghantaran terutamanya jika barang tersebut dari luar negara. Kosnya mungkin ada yang tinggi berbanding jika kita membeli secara terus di kedai. Bahkan, pembeli juga perlu menunggu masa yang agak lama sebelum barangan tiba di rumah terutama barangan yang dibeli dari luar negara.

Apapun situasinya, kita sebagai pembeli harus bijak dalam menilai dan berbelanja. Memang diakui membeli secara online lebih jimat berbanding belian fizikal tetapi ia bukan bermakna mengizinkan kita berbelanja secara boros. Belilah ikut kemampuan dan keperluan, bukannya ikut kemahuan. – UTUSAN

Imran Mohamad Nor Pengarang Berita Utusan Malaysia

Ulasan