Berapa banyak makanan kita mahu buang pada Ramadan ini?
Oleh Aznan Bakar
2 Mac 2025, 6:50 am
ANTARA pesanan yang paling kerap disampaikan setiap kali kita menyambut Ramadan selain memperbanyakkan amal ibadat adalah jangan membazir. Sebabnya, setiap kali berada di bulan puasa, kita seolah-olah lupa daratan. Membeli-belah makanan kadang-kadang sampai tidak ingat apa. Sebahagian besar makanan itu berakhir dalam tong sampah.
Maknanya, segala pesanan, peringatan termasuk amaran bahawa membazir amalan syaitan tidak membawa apa-apa faedah.
Ibarat masuk telinga kanan keluar telinga kiri, seperti mencurahkan air ke daun keladi. Tidak memberi apa-apa kesan kepada budaya berbelanja dan pemakanan kita di bulan Ramadan.
Makanya, soalan paling sesuai ditanya adalah berapa makanan yang kita akan buang pada Ramadan kali ini? Adakah ia akan mencatatkan rekod baharu melebihi daripada apa yang kita buang pada tahun lepas atau akan berkurangan?
Kalau kita lihat kepada data yang disediakan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam(SWCorp), sudah menjadi kelaziman setiap tahun makanan yang dibuang semasa Ramadan akan meningkat.
Jika pada hari biasa kita membuang makanan purata sekitar 16,000 tan sehari, tetapi apabila masuk bulan puasa jumlah itu boleh mencecah lebih 20,000 tan sehari.
Sepatutnya, di bulan puasa di mana kita menahan lapar dan dahaga, tidak makan di siang hari jumlah yang terbuang ini mestilah menurun. Tetapi itu tidak berlaku. Walaupun umat Islam di negara ini hanya makan pada waktu malam, tetapi jumlah makanan yang dibuang jauh lebih tinggi.
Keseluruhan pada tahun lalu kita umat Islam yang dididik supaya tidak membazir dan ia adalah amalan syaitan telah membuang hampir 100,000 tan makanan. Angka ini hanya pada bulan puasa sahaja.
Apabila masuk bulan puasa, pembaziran itu berlaku di mana-mana sahaja. Antaranya bufet Ramadan yang disediakan secara berlebih-lebihan. Bayar satu kepala ada yang mencecah RM300, tetapi sebahagian besar makanan dibuang sebab tidak habis dimakan.
Dari bazar Ramadan pula setiap hari kita akan memborong makanan. Tetapi apabila tiba waktu berbuka yang mampu dimakan hanya sedikit sahaja. Bakinya masuk tong sampah.
Sama juga dengan moreh di masjid dan surau. Beria-ia infak dan sedekah untuk berbuka dan moreh. Tetapi akhirnya berakhir di mana?
Masalah ini berlaku bukan disebabkan oleh kurang kesedaran atau tidak cukup ilmu. Tetapi ia sudah menjadi tabiat dan amalan kita. Selain beribadat, salah satu amalan yang ‘wajib’ pada kita setiap kali bulan
Ramadan adalah makanan. Sama ada di hotel, bazar, di masjid dan surau atau masak sendiri di rumah. Kita cenderung menyediakannya dalam jumlah yang banyak. Melebihi daripada keperluan.
Sudah tahu malam tadi sebahagian besar makanan telah masuk ke tong sampah, tetapi hari ini kita tetap menyediakan pada jumlah yang sama, atau lebih banyak lagi. Alasan sebab siang berpuasa.
Tidak tahu bila akan berakhir perlumbaan antara melakukan ibadat dan membazir makanan pada setiap Ramadan ini akan berakhir.
Aznan Bakar ialah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia – MINGGUAN
Ulasan
Catat Ulasan