Bilik gerakan banjir Khidmat Malaysia operasi di Johor


Bilik gerakan banjir Khidmat Malaysia operasi di Johor
March 20, 2025

KUALA LUMPUR: Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) mengarahkan semua Bilik Gerakan Negeri dan Bilik Operasi di peringkat kawasan serta Parlimen yang terlibat dengan banjir di Johor agar dibuka segera.

Ketua Pengarah Khidmat Malaysia, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, sehingga jam 3:50 petang tadi, sebanyak 42 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka di seluruh negeri Johor dengan 2,982 mangsa daripada 886 keluarga.

“Trend peningkatan jumlah mangsa banjir di Johor ini agak membimbangkan, lebih-lebih lagi melibatkan kawasan-kawasan dalam daerah Kota Tinggi dan daerah lain yang berpotensi mengalami bencana banjir.

“Kejadian ini juga dilihat mengulangi episod bencana banjir pada tahun 2023 apabila ia berlaku ketika umat Islam sedang berpuasa di bulan Ramadan,” katanya dan mengarahkan operasi diaktifkan secara berterusan susulan peningkatan mendadak jumlah mangsa banjir di negeri itu.

Johor Bahru paling teruk terjejas

Khairul Faizi berkata, daerah Johor Bahru mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi dengan seramai 1,251 orang daripada 356 keluarga ditempatkan di 17 PPS.

“Diikuti dengan daerah Kota Tinggi dengan melibatkan 803 orang mangsa di 11 PPS yang telah dibuka. Selain itu, PPS juga telah dibuka di daerah Pontian (8 PPS), Kulai (5 PPS) dan Kluang (1 PPS),” katanya.

Beliau berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini telah meramalkan hujan berterusan di beberapa daerah termasuk Johor Bahru, Kota Tinggi, Kulai, Pontian, Kluang dan Mersing pada hari ini dan Jumaat.

“Selain Johor, beberapa kawasan lain di Pahang seperti Kuantan, Pekan dan Rompin serta beberapa daerah di Sabah seperti Pantai Barat, Sandakan dan Kudat juga dijangka mengalami hujan berterusan,” katanya.

Pantau dan salur bantuan

Khairul Faizi berkata, Bilik Gerak Info Bencana Khidmat Malaysia (BGIB) akan terus memantau perkembangan semasa bagi menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di Johor.

Menurutnya, bencana banjir berlaku tahun ini mempunyai pola hampir sama dengan kejadian pada 2023 yang menyaksikan jumlah mangsa meningkat secara mendadak dalam tempoh tiga hari.

“Bermula pada 1 Mac dengan hanya menempatkan 1,591 orang daripada 560 keluarga di empat daerah, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan terus bertambah kepada 24,000 orang yang ditempatkan di 177 pusat pemindahan pada 2 Mac dan pada 3 Mac, mangsa banjir di Johor terus melonjak kepada 34,849 orang,” katanya.

Beliau berharap insiden itu menjadi peringatan kepada semua pihak agar sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan bencana alam. – HARAKAHDAILY 20/3/2025

Ulasan