

Berita
Bukan tempoh PM saja: Wanita MCA gesa Anwar lepas portfolio kewangan
Diterbitkan: Mar 17, 2025 9:37 PM
Dikemaskini: 9:37 PM
Sayap Wanita MCA menyambut baik komitmen Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, untuk memenuhi janji kempen gabungannya bagi mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada 10 tahun.
Namun, Ketua Penerangan Wanita MCA Chan Quin Er berpendapat Anwar seharusnya melangkah lebih jauh dengan melepaskan jawatan menteri kewangan, yang kini turut disandangnya.
"Dahulu, Pakatan Harapan menentang keras tindakan perdana menteri yang memegang jawatan menteri kewangan secara serentak.
"Mereka berpendapat penggabungan kedua-dua jawatan ini memberikan kuasa yang terlalu besar kepada satu individu dan melemahkan pemisahan antara kuasa eksekutif dan autoriti kewangan," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Chan (gambar atas) turut menegaskan sejak pentadbiran Najib Razak, tiada perdana menteri selepas itu yang memegang kedua-dua jawatan tersebut secara serentak, sehingga Anwar mengambil alih pada tahun 2022.
"Pakatan Harapan, walaupun lantang memperjuangkan reformasi, kini telah melanggar prinsip mereka sendiri dengan membenarkan perdana menteri turut menjadi menteri kewangan.
"Tindakan ini mencemarkan kemajuan dan reformasi yang telah dicapai sebelum ini," katanya lagi.
Menurut Chan, Anwar sepatutnya memberi tumpuan kepada peranannya sebagai perdana menteri dalam menerajui kabinet serta melaksanakan dasar kerajaan dan reformasi institusi manakala Kementerian Kewangan perlu diterajui oleh individu yang mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam bidang kewangan serta ekonomi.

Isu had tempoh jawatan perdana menteri dibangkitkan dalam Kongres Kebangsaan DAP semalam, dengan Setiausaha Agung parti itu, Anthony Loke menyenaraikannya sebagai salah satu reformasi yang dijanjikan tetapi masih belum ditunaikan.
Anwar, yang hadir dalam kongres tersebut menyatakan persetujuannya.
Menurutnya, meskipun cadangan itu telah dipersetujui dalam PH, ia tetap memerlukan kelulusan dua pertiga di Parlimen untuk menjadi kenyataan.
"Saya bersetuju dengan beberapa cadangan (reformasi). Untuk mengehadkan perdana menteri untuk 10 tahun memegang jawatan.
"Kerana kita tahu jika ia mencecah 22 tahun, itu akan memusnahkan negara," kata Anwar dengan sindiran halus kepada salah seorang pengkritik tegarnya, bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Janji untuk menghadkan tempoh jawatan perdana menteri, ketua menteri dan menteri besar kepada 10 tahun merupakan sebahagian daripada manifesto pilihan raya PH dalam Pilihan Raya Umum 2022.
Pada Pilihan Raya Umum 2018, PH juga berjanji bahawa perdana menteri tidak akan memegang portfolio lain secara serentak. Namun, janji ini tidak dimasukkan dalam manifesto 2022.
Ketika mempertahankan keputusannya untuk memegang jawatan Menteri Kewangan, Anwar pada tahun 2022 menjelaskan bahawa ia bertujuan memastikan dasar-dasar yang dapat meningkatkan keyakinan pelabur dapat dilaksanakan.
Sementara itu, Chan memuji komitmen Anwar dalam melaksanakan had tempoh jawatan perdana menteri, walaupun ia hanya dibangkitkan selepas tiga tahun memegang kuasa.
"Langkah ini penting dalam mempromosikan reformasi demokrasi.
"Ia juga membantu mengelakkan isu seperti hegemoni, kronisme, dan nepotisme yang boleh timbul akibat pemerintahan terlalu lama oleh satu individu, di samping meningkatkan integriti dan imej kerajaan," katanya.
Ulasan
Catat Ulasan