
Didakwa cabul anak perempuan berusia 4 tahun, lelaki didakwa di mahkamah
Oleh Suraya Roslan - Mac 25, 2025 @ 5:01pm
KUALA LUMPUR: Seorang baka didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan kandungnya berusia empat tahun di sebuah kondominium di Brickfields, awal bulan ini.
Bagaimanapun, tertuduh berusia 34 tahun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Mohd Kafli Che Ali.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas anak perempuannya berusia empat tahun enam bulan bagi tujuan seksual.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah unit kondominium di Jalan Gembira, Brickfields, dekat sini antara jam 9.30 malam hingga jam 5.30 pagi pada 4 hingga 5 Mac lalu dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebatan bagi kesalahan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Sesual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Bagi kesalahan mengikut Seksyen 16(1) akta sama, dia boleh dihukum penjara maksimum lima tahun dan sebat tidak kurang daripada dua sebatan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Atiqa Nazihah Azmi memohon jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa serta ibunya yang juga pengadu dan perlu melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali.
Bagaimanapun, peguam Chong Seng Ming yang mewakili tertuduh merayu jaminan dikurangkan dengan mengambil kira penjamin yang juga bapa tertuduh hanya seorang pesara.
"Ayah tertuduh datang dari Sungai Petani, Kedah dan beraku janji selepas anaknya dijamin hari ini akan membawa pulang dan mengawasinya untuk tidak mendekati mangsa serta pengadu," katanya.
Mendengar hujah kedua-dua pihak, Mohd Kafli membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan dimohon pendakwaan serta menetapkan 16 Mei untuk sebutan semula kes.
Ulasan
Catat Ulasan