
Berita
DJ Era FM mohon maaf di Batu Caves
Diterbitkan: Mar 5, 2025 9:07 AM
Dikemaskini: 9:30 AM
Tiga penyampai Era FM hadir ke kuil Batu Caves bagi memohon maaf atas tindakan mereka yang mempersendakan ritual kavadi semasa perayaan Thaipusam.
“Dari pihak kami, Datuk, kami benar-benar... kami minta maaf,” kata penyampai radio, Nabil Ahmad, kepada ahli jawatankuasa kuil, Sivakumar Nadarajah, dalam sebuah video yang dimuat naik di akaun Instagram Sivakumar semalam.
“Saya harap video ini boleh buat semua orang lebih tenang,” kata Nabil dalam bahagian lain video tersebut.
Dalam video itu, Nabil turut ditemani oleh dua rakan penyampai Era FM, Azad Jasmin dan Radin Amir Affendy.

Namun, Sivakumar – yang juga Presiden Majlis Kuil Hindu dan Persatuan Hindu Malaysia serta anak kepada Pengerusi Kuil Batu Caves, R Nadarajah – menegaskan beberapa kali bahawa apa yang dilakukan oleh mereka bertiga adalah sesuatu yang tidak boleh dimaafkan dan tindakan perlu diambil terhadap mereka.
Bendahari Agung MIC itu turut berkata isu ini telah menjadi perhatian umum dan pihak berkuasa juga telah terlibat dalam siasatan.
"On human ethics ground (atas dasar kemanusiaan) kita boleh maafkan tapi mesti ada satu tindakan yang akan bagi satu mesej yang clear (jelas)," katanya.
Sebelum ini, sebuah video tular di media sosial menunjukkan beberapa kakitangan Era FM memperolok-olokkan ritual kavadi – satu ritual yang sinonim dengan kuil Batu Caves.
Susulan kontroversi itu, Nabil, Azad, dan Radin telah tampil memohon maaf menerusi satu video yang dimuat naik di media sosial. Sementara itu, Era FM mengumumkan ketiga-tiga penyampai serta dua kakitangan lain telah digantung tugas sementara siasatan dijalankan.
Pihak polis kini sedang menyiasat kes ini di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan (mengeluarkan kata-kata atau melakukan perbuatan dengan niat untuk melukakan perasaan keagamaan) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (penyalahgunaan kemudahan rangkaian).
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, turut mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menjalankan siasatan menyeluruh terhadap kes ini.
Ulasan
Catat Ulasan