‘Dua tahun sudah cukup lihat Perdana Menteri ingkar janji’


‘Dua tahun sudah cukup lihat Perdana Menteri ingkar janji’

Cara seseorang pemimpin mentadbir adalah lebih penting, bukan tempoh
March 20, 2025

KUALA LUMPUR: PAS menegaskan bahawa had tempoh kepimpinan bukanlah jaminan kepada tadbir urus yang baik, sebaliknya menekankan bahawa kualiti kepimpinan harus diukur berdasarkan prinsip dan integriti moral.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari menyatakan pendiriannya yang berbeza dengan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid, berhubung isu cadangan mengehadkan tempoh kepimpinan politik.

Menurut Ahli Parlimen Pasir Mas itu, demokrasi tidak boleh dianggap sebagai sistem yang sempurna dan kebal daripada manipulasi, rasuah serta kepentingan diri.

Beliau menegaskan bahawa tempoh berkhidmat tidak menentukan kualiti kepimpinan, sebaliknya cara seseorang pemimpin mentadbir adalah lebih penting.

“Syerleena berhujah bahawa demokrasi—bukan ketentuan Ilahi—harus menentukan tempoh kepimpinan, seolah-olah demokrasi adalah satu mekanisme sempurna yang kebal daripada manipulasi dan kepentingan diri. Jika dunia semudah itu,” katanya dalam satu kenyataan memetik ucapan Syarleena.

Beliau turut mengemukakan contoh Amerika Syarikat yang mengehadkan tempoh kepimpinan presidennya kepada dua penggal, tetapi masih gagal menghalang negara itu daripada terus berperang dan menggulingkan kerajaan lain.

“Bush mempunyai lapan tahun untuk menghancurkan Iraq, Obama mempunyai lapan tahun untuk menjadikan Libya dan Syria medan pertumpahan darah, dan Biden meneruskan tradisi tersebut. Jelas sekali, tempoh berkhidmat tiada kaitan dengan kualiti kepimpinan,” tegasnya.

Ahmad Fadhli menambah bahawa seorang pemimpin yang korup boleh merosakkan negara dalam satu penggal, manakala seorang pemimpin yang adil dan berintegriti boleh berkhidmat selama beberapa dekad tanpa menjejaskan kepentingan rakyat.

“Kepimpinan harus diukur berdasarkan prinsip, bukan had masa yang ditetapkan atas nama demokrasi. Ujian sebenar kepimpinan bukanlah tempohnya, tetapi keadilannya,” ujarnya.

Menurutnya lagi, Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, sering menekankan konsep kepimpinan berpandukan ketentuan Ilahi, bukan kerana menolak demokrasi, tetapi kerana percaya bahawa demokrasi sahaja tidak mencukupi tanpa pedoman moral yang lebih tinggi.

“Demokrasi hanyalah permainan angka, di mana kuasa bukan milik rakyat, tetapi mereka yang menguasai naratif—taikun media, elit korporat, dan pemodal politik.

“Dan marilah kita bersikap jujur, tidak perlu lapan tahun untuk mengetahui bahawa seorang pemimpin tidak layak memegang jawatan. Dua tahun sudah lebih daripada cukup…

“… untuk melihat seorang perdana menteri mengingkari janjinya, mengkhianati prinsip yang pernah diperjuangkannya, dan membuktikan dirinya tidak layak untuk jawatan yang dipegang,” katanya.

Beliau juga menyatakan bahawa PAS tidak akan terlibat dalam sebarang agenda politik yang hanya sekadar menambah baik imej kerajaan tanpa membawa perubahan bermakna kepada rakyat.

“Isu yang lebih besar ialah sama ada perubahan seperti ini benar-benar akan mewujudkan suasana politik yang lebih sihat di Malaysia.

“Jika tidak, ia hanyalah satu penambahbaikan kosmetik kepada demokrasi—ilusi reformasi yang tidak memberi kesan sebenar kepada rakyat,” jelasnya.

Ahmad Fadhli menegaskan bahawa PAS kekal berpegang kepada prinsip kepimpinan berasaskan keadilan dan bukannya semata-mata bergantung kepada tempoh pemerintahan.

“Dengan segala hormatnya, Syerleena, mengehadkan tempoh kepimpinan bukanlah jaminan kepada tadbir urus yang baik. Dan kotak undi semata-mata tidak dapat menentukan hal itu,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/3/2025

Ulasan