‘Gajah masuk dalam rumah tengah malam, sangat serius’


‘Gajah masuk dalam rumah tengah malam, sangat serius’
March 5, 2025

Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta memberi penjelasan sama ada bersedia untuk memastikan setiap negeri mempunyai rangkaian laluan ekologi yang bersambung susulan ancaman haiwan liar di kawasan penempatan penduduk.

Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) berkata, mutakhir ini terdapat banyak konflik antara manusia, gajah, harimau dan kera disebabkan laluan ekologi yang tidak bersambung sehingga mengakibatkan ancaman itu berada pada tahap serius.

“Melihat kepada pelan koridor ekologi kebangsaan, kalau boleh kita perluaskan dengan pusat konservasi gajah itu sendiri. Baru-baru ini di kawasan saya Lipis, gajah masuk dalam rumah pun tengah malam, dan musnahkan tempat tidur dia, katil dan sebagainya. Ini sangat serius.

“Persoalannya ialah pampasan yang diberi terlalu lewat. Ada penduduk mengadu hampir setengah tahun pampasan belum dibayar kepada kerosakan yang dialami,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam jawabannya berkata, kompleks hutan di beberapa negeri seperti Johor dan Pahang, selain beberapa negeri di utara dan tengah Semenanjung mempunyai masalah sama.

“Malaysia hari ini, litupan hutan kita melebihi 54 peratus daripada kawasan tanah di negara, seiring dengan komitmen kita sebelum ini. Tetapi, apabila adanya lebuh raya, landasan kereta api, pembangunan, ladang dan sebagainya.

“Maka kompleks hutan ini akan terpisah, dan ini akan meningkatkan konflik sebab banyak binatang-binatang seperti gajah, harimau yang memerlukan ruang rayau yang luas, yang cukup untuk mereka hidup,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/3/2025

Ulasan