
Godam MAHB: NACSA nafi KLIA alami gangguan operasi
Oleh Noor Atiqah Sulaiman - Mac 26, 2025 @ 2:53pm
Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) menafikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpurt (KLIA) di Sepang, mengalami gangguan susulan digodam baru-baru ini. - Foto NSTP
KUALA LUMPUR: Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) menafikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpurt (KLIA) di Sepang, mengalami gangguan susulan digodam baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif NACSA, Dr Megat Zuhairy Megat Tajuddin, berkata setakat ini operasi di lapangan terbang berkenaan berjalan seperti biasa.
"Entiti seperti Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan KLIA sememangnya sentiasa menjadi sasaran utama penggodam.
"Akta Keselamatan Siber 2024 menetapkan keperluan yang perlu dipatuhi dalam melindungi diri mereka daripada ancaman keselamatan siber.
"Ia termasuk melaporkan insiden berkenaan kepada NACSA. Susulan itu kami akan terus melakukan pemantauan terhadap insiden ini termasuk memberi perkhidmatan kepakaran keselamatan siber bagi meminimakan impak.
"Jadi saya sahkan sehingga kini insiden berkenaan tidak memberi sebarang kesan kepada lapangan terbang berkenaan," katanya kepada BH, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan serangan siber terhadap MAHB yang menyasarkan sistem KLIA mengakibatkan gangguan selama lebih 10 jam sekali gus menjejaskan operasi penerbangan dengan ribuan penumpang terkandas.
Serangan itu menyebabkan pelbagai masalah, termasuk pengendalian bagasi yang tidak dapat berfungsi hingga memaksa kakitangan lapangan terbang dan syarikat penerbangan beralih kepada operasi manual.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa sistem MAHB digodam dengan tuntutan AS$10 juta. Bagaimanapun, Anwar memaklumkan permintaan untuk tuntutan itu ditolak.
Ulasan
Catat Ulasan