Had juga umur ahli Parlimen!



Had juga umur ahli Parlimen!
Oleh Ismail Daud
18 Mac 2025, 6:30 am

Cadangan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun atau dua penggal bukanlah sesuatu yang baharu. Perkara itu sudah ada dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) sejak Pilihan Raya Umum ke-14. Namun, belum ditunai walaupun PH sudah menang.

Ia dibangkitkan semula dalam Kongres Kebangsaan DAP Ke-18 yang berlangsung Ahad lalu oleh Setiausaha Agung parti itu, Anthony Loke sebagai ingatan terhadap beberapa pembaharuan yang dijanjikan tetapi belum dilaksanakan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika bersetuju dengan perkara itu berkata, ia akan dibawa ke Sidang Dewan Rakyat sekiranya mendapat sokongan dua pertiga ahli Parlimen. Kalau ikut komposisi parti yang memben­tuk kerajaan sekarang, angka dua perti­ga itu tidak ada masalah untuk dicapai.

Had­­kan tempoh perdana menteri sebenarnya pernah di­bangkitkan di Dewan Rakyat tahun lalu dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, M. Kula­segaran berkata, kajian komprehensif sudah dimulakan termasuk mengadakan sesi libat urus dan perbandingan dengan negara lain. Tiada maklumat lanjut tentang kajian itu diketahui selepas itu.

Satu perkara lagi yang kerajaan boleh kaji ialah kemungkinan menetapkan umur maksimum bagi ahli Parlimen. Lebih baik jika had umur maksimum ini turut terpakai kepada kepimpinan di semua peringkat dalam semua parti politik. Setakat ini hanya ada umur minimum.

Semua sektor pekerjaan ada umur maksimum atau umur pencen kecuali bagi orang politik. Selagi mahu, dia boleh bertanding. Umur 50-an dianggap masih muda dalam politik hari ini. Sebab itu, sampai kita sudah hendak pencen pun, masih ada orang politik yang kita kenal semasa masih di bangku sekolah masih ‘berlegar’ dalam parti dan kerajaan.


Jika ada umur maksimum, peralihan kepemimpinan akan lebih cepat dan tersusun. Tidak tertumpu kepada satu pemimpin selama berpuluh tahun. Pemimpin muda berpeluang untuk ‘naik’ dengan lebih cepat.

Rakyat sudah boleh melihat siapa pemimpin pelapis yang akan menerajui negara ini. Sebenarnya, ramai orang muda yang berbakat menjadi pemimpin tetapi sistem parti politik di negara ini menyempitkan peluang mereka. Akibatnya, ramai yang hilang minat.

Justeru, berapa umur pencen ahli politik?

Sukar mencari umur yang ideal. Lebih sukar lagi mencari keseimbangan antara umur, kematangan, kebijaksanaan dan pengalaman. Memang ada ahli politik yang berusia 100 tahun tetapi masih tajam pemikirannya dan sihat fizikalnya tetapi tidak ramai yang begitu.

Amerika Syarikat dan India sebagai demokrasi terbesar tidak menetapkan umur maksimum ahli politik. Namun, apa salahnya kita meneroka ke arah itu. Dalam era perubahan teknologi yang sangat pesat, kecerdasan buatan, bioteknologi dan perang siber, penetapan umur maksimum ahli politik ada asasnya kerana pemimpin hari ini seharusnya cergas dari segi mental dan fizikal.

Dalam pilihan raya akan datang, diharap lebih ramai pemimpin muda diberi peluang. Orang muda sebagai kumpulan pengundi terbesar juga harus memainkan peranan menaikkan pemimpin muda. Moga satu hari nanti, kita akan mendapat perdana menteri berusia sekitar 40 tahun seperti di Thailand, Austria, Finland dan New Zealand.



Ismail Daud adalah Timbalan Pengarang Utusan/Mingguan Malaysia – UTUSAN

Ulasan