
Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad - Mac 22, 2025 @ 10:37pm
Keadaan Perodua Axia dan Perodua Myvi yang terbabit kemalangan maut di Jalan Penghulu Jaabar, Bukit Katil, hari ini. - Foto ihsan IPD Melaka Tengah
MELAKA: Seorang ibu dipercayai 'microsleep' (terlelap sejenak) beberapa saat ketika memandu, menyebabkan kemalangan dua kereta sehingga meragut nyawa anaknya berusia dua tahun di Jalan Penghulu Jaabar, Bukit Katil, di sini, hari ini.
Mangsa, Muhammad Alexander Zulkarnain Muhammad Nur Basir yang parah di kepala, disahkan meninggal dunia pada jam 4 petang ketika menerima rawatan di Hospital Melaka.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata insiden berlaku kira-kira jam 2.40 petang ketika mangsa menaiki Perodua Axia dipandu ibunya yang juga suri rumah berusia 31 tahun.
Beliau berkata, kereta berkenaan turut dinaiki seorang kakak mangsa berusia tujuh tahun serta dua abangnya berumur empat dan sembilan tahun.
"Hasil siasatan awal mendapati ketika kejadian, Perodua Axia dinaiki pemandu wanita bersama empat anak itu dalam perjalanan dari arah Bandar Melaka menuju ke Tehel.
"Setiba di lokasi, pemandunya dipercayai mengalami 'microsleep' menyebabkan kereta itu terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung sebuah Perodua Myvi yang datang dari arah Bukit Katil menuju ke Duyong," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Christopher berkata, kemalangan itu turut menyebabkan pemandu Perodua Axia berkenaan tersepit di tempat duduk dan patah kaki kanan, manakala tiga lagi anaknya mengalami kecederaan termasuk patah kaki kanan serta luka di kaki dan muka.
Selain itu, katanya, pemandu lelaki Perodua Myvi terbabit yang juga seorang pegawai tadbir berusia 34 tahun di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), cedera dalam perut.
Beliau berkata, abang pemandu Perodua Myvi berumur 45 tahun sebagai penumpang kereta itu pula disahkan cedera pada paru-paru.
Christopher berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Melaka, untuk bedah siasat, manakala semua mangsa yang cedera kini dirawat di hospital sama.
"Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya
Ulasan
Catat Ulasan