Jangan ‘termenung’ selepas Aidilfitri




Jangan ‘termenung’ selepas Aidilfitri
Oleh Adlinahani Binti Khalil
15 Mac 2025, 6:40 am

KIRA-KIRA dua minggu lagi umat Islam di negara ini bakal meraikan Hari Raya Aidilfitri dan sudah tentu semakin banyak persiapan dilakukan.

Antara persiapan yang paling ‘bersemangat’ dibuat ialah membeli baju raya sekeluarga.

Golongan ibu sudah tentukan raya pertama mesti pakai baju warna merah jambu, raya kedua pula warna hijau pucuk pisang dan golongan bapa serta anak-anak hanya menurut, risau kena bebel jika membantah.

Dalam kemeriahan membuat persiapan raya, kos perbelanjaan yang semakin meningkat turut diberi perhatian oleh masyarakat negara ini.

Ramai yang mengeluh harga makanan di bazar Ramadan semakin mahal, baju raya semakin mahal dan boleh dikatakan apa sahaja barang yang tidak mahal ketika ini?

Jika tanya kepada rakan-rakan atau saudara-mara, mereka akan mengeluh beritahu harga baju raya semakin tidak masuk akal sehinggakan ada yang harganya sama seperti bayaran bulanan kereta.

Jika fikir balik, lebih baik duit itu disimpan atau dibelanjakan untuk perkara-perkara yang lebih berbaloi seperti belanja keluarga makan, atau lebih afdal, sedekah kepada golongan memerlukan.

Tidak dinafikan kenaikan kos bahan mentah menjadikan harga banyak barang keperluan dan kehendak naik mendadak.

Namun, itu bukanlah bermakna para peniaga boleh ambil kesempatan daripada masyarakat dengan menaikkan sesuka hati barang jualan mereka.

Situasi itu menjadikan ramai dalam kalangan masyarakat mahu beraya secara sederhana dan seadanya, yang penting niat meraikan Aidilfitri.

Kena ajar diri bahawa tidak mengapa jika tidak menyarung baju raya berjenama mahal dan lebih munasabah jika memakai baju yang harganya berpatutan tetapi selesa.

Usah jadikan persepsi ‘raya hanya sekali’ maka tidak mengapa berbelanja melebihi kemampuan poket sehingga ada yang sanggup berhutang atau gunakan skim beli sekarang, bayar kemudian (BNPL).

BNPL itu juga bukanlah medium ‘penyelamat’ untuk beraya dengan mewah kerana jika tersilap langkah, anda boleh diisytihar bankrap kerana gagal melunaskan hutang.

Takkan disebabkan raya, ada sanggup diisytihar muflis?

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, rakyat Malaysia ber­belanja sebanyak RM12 bilion menggunakan kemudahan BNPL pada tahun lalu.

Daripada jumlah itu sebanyak RM4.9 bilion di­belanjakan pada enam bulan pertama tahun lalu dan meningkat de­ngan ketara kepada RM7.1 bilion pada enam bulan kedua.

Jadi, anda ada pilihan, mahu beraya dengan hati tenang atau selepas beraya termenung fikir hutang kena bayar?



Adlinahani Khalil ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia. – UTUSAN

Ulasan