KATA MP | Benarkah Melayu bakal terpinggir dengan Akta PSB?


Berita
KATA MP | Benarkah Melayu bakal terpinggir dengan Akta PSB?
Diterbitkan: Mar 18, 2025 1:04 PM

Adakah benar Orang Melayu bakal dipinggirkan dengan Akta Pembaharuan Semula Bandar?

Pihak Pembangkang Perikatan Nasional giat mempertikaikan cadang RUU Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB). Mereka mendakwa bahawa orang Melayu Bandar akan dihapuskan atau dipinggirkan. Adakah ini benar?

Biar fakta berbicara.

Saya ingin mengambil contoh cadangan projek Pembangunan Semula Bandar Mahsuri di kawasan Parlimen Bayan Baru sebagai contoh.

Flat Mahsuri (6 blok lima tingkat) yang terletak di Lorong Mahsuri telah dibina pada awal tahun 1980an. Selepas 40 tahun, flat-flat kos rendah ini telah menjadi usang dan tidak sesuai untuk didiami. Ada satu blok lima tingkat telah dirobohkan kerana struktur tidak kukuh lagi.

Flat-flat ini sekarang telah disewa kepada pekerja asing dan orang tempatan, orang Melayu (55 peratus), orang Cina (35 peratus) dan orang India (10 peratus) pemilik asal telah memindah keluar satu per satu. Mengikut kajian terkini, 70 peratus penghuni sekarang adalah pekerja asing. Yang tinggal hanyalah golongan B40 dalam keadaan sangat daif.



Realitinya, orang Melayu, Cina dan India miskin telah dipinggirkan tanpa Akta Pembangunan Semula.

Bagaimanakah Akta Pembaharuan Semula Bandar akan membantu memberi perumahan kepada penduduk tempatan terutamanya orang Melayu?

Dalam Projek Pembaharuan Semula Bandar Mahsuri, pemilik asal diberi satu flat asal (350 kaki persegi) ganti dengan flat baru (850 kaki persegi) secara percuma.

Blok baru bukan lagi flat kos rendah tetapi perumahan mampu milik yang bernilai RM400,000 satu unit. Blok baru juga siap dengan kemudahan lif, surau dan taman permainan. Setiap pemilik asal juga diberi satu petak letak kereta secara percuma.

Selepas projek ini dilancarkan, arang Melayu, Cina dan India menyokong penuh projek ini. Mereka mengharapkan Akta Pembaharuan Semula Bandar akan mempercepatkan projek ini. Mereka tidak ingin menunggu lagi.


Generasi kedua pemilik asal mengharapkan bahawa mereka boleh pindah balik ke kawasan Mahsuri untuk bersama ibu bapa mereka.

Tanpa Akta PSB, realitinya perumahan mereka didiami pekerja asing. Dengan adanya PSB, pemilik asal dan generasi kedua akan kembali ke tempat asal.

Walaupun agak ironi, tetapi ini adalah keadaan sebenar.

Maka, saya terpanggil untuk menegur politikus yang cuba menangguk di air keruh. Mereka bermotif politik yang tidak baik. Mereka hanya menyusahkan orang miskin dari pelbagai kaum.

Saya menjemput pengkritik-pengkritik Akta PSB datang ke Parlimen Bayan Baru, saya akan menerangkan projek Mahsuri kepada mereka. Biarlah fakta berbicara bukan memainkan sentimen.

Saya juga ingin menyeru penduduk tempatan menilai dengan diri sendiri. Tolak parti-parti yang menghalang mereka ke arah kehidupan yang lebih baik.

SIM TZE TZIN ialah ahli parlimen Bayan Baru dari PKR.

Ulasan