Kelantan perteguh usaha tangani gejala sosial


Kelantan perteguh usaha tangani gejala sosial
March 4, 2025

KOTA BHARU: Bagi menangani gejala sosial di Kelantan, dua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Kelantan telah mengadakan pertemuan strategik bagi mencap kata sepakat berhubung perkara itu.

Datuk Wan Roslan Wan Hamat menerima kunjung hormat Rohani Ibrahim bagi membincangkan pendekatan lebih berkesan dalam menangani isu sosial berkenaan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi itu berharap, kerjasama ini dapat membawa manfaat besar kepada rakyat Kelantan serta menjadi pemangkin kepada perubahan lebih positif demi kesejahteraan ummah.

Pertemuan ini katanya bertujuan memperhalusi langkah-langkah strategik bagi menangani isu sosial yang semakin membimbangkan, khususnya dalam kalangan generasi muda.

“Semoga usaha ini membawa manfaat besar kepada rakyat Kelantan dan menjadi titik tolak kepada perubahan lebih positif demi kesejahteraan ummah, insyaAllah,” ujarnya ketika kunjung Pengerusi Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita itu kelmarin.

Turut hadir, pada pertemuan itu Pengarah Urusetia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri, Ilvira Mohd Dasuki.

Sementara itu, Rohani menyifatkan pertemuan berkenaan sebagai langkah memperhalusi strategi dan memastikan keberkesanan program dirangka bagi membendung permasalahan sosial yang semakin berleluasa.

“Kerjasama antara pelbagai pihak amat penting dalam merangka dasar serta inisiatif yang lebih holistik demi kesejahteraan masyarakat.

“Semoga usaha ini membawa impak besar kepada rakyat Kelantan dan menjadi titik tolak kepada perubahan yang lebih positif, insya-Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/3/2025

Ulasan