
Kerajaan ‘takut’, media tak bebas, makin terkongkong
March 20, 2025
KUALA LUMPUR: Kerajaan pada hari ini dilihat ‘takut’ dengan media sehingga mengakibatkan perkara yang mahu disampaikan kepada umum terbatas dan tidak dapat disampaikan dengan sebaik mungkin.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia sama sekali jauh berbeza dengan apa yang dilakukan ketika beliau menjadi Perdana Menteri bersama gabungan Perikatan Nasional (PN).
“Ini apa yang saya nyatakan, saya tak rasa saya silap mengenainya. Ketika PN berkuasa, saya tak sentuh bidang kuasa dan kedudukan media. Ia jauh berbeza dengan apa yang PH (Pakatan Harapan) lakukan sekarang dan apa yang PN tidak melakukannya ketika itu.
“Sebab kami menghargai, sepatutnya (media) mesti jelaskan sesuatu yang benar. Kalau anda buat laporan yang tak betul, maka rakyat akan tahu. Apa lagi kalau anda melaporkan sesuatu yang dilakukan oleh kerajaan seumpamanya tidak betul.
“Ataupun membawa kesan tidak baik kepada negara dan mengatakan itu adalah perkara yang terbaik untuk rakyat, rakyat akan tolak,” katanya dalam Majlis Iftar Presiden Pengasas Bersatu Bersama Pengamal Media, di sini lewat malam tadi.
Turut hadir Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin; Setiausaha Agung Bersatu, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali; Ketua Armada Bersatu Malaysia, Muhammad Hilman Idham dan Ketua Penerangan Armada Bersatu Malaysia, Harris Idaham Rashid.
Muhyiddin yang juga Pengerusi PN turut menyentuh mengenai Indeks Kebebasan Media negara yang menurun sebanyak 34 tangga di kedudukan ke-107 pada tahun lalu, berbanding tangga ke-73 pada 2023.
“Ini realiti, iaitu satu penurunan yang agak ketara yang tak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia sebelum ini. Nampak sangat bahawa kerajaan ini takut dengan media, itu saya punya pandangan sikit.
“Satu tindakan mesti diambil supaya media tak rasa terkongkong ataupun tak bebas,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/3/2025
Ulasan
Catat Ulasan