
Kes pempengaruh, pengasas produk 'cuci duit' bukan sahaja berlaku di Kelantan
23 Mac 2025 07:43am
Masa membaca: 2 minit
Pendedahan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat mengenai dakwaan bahawa ramai pempengaruh dan pemilik syarikat kosmetik di Kelantan disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah dan penggubahan wang haram.
PENDEDAHAN Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat mengenai dakwaan bahawa ramai pempengaruh dan pemilik syarikat kosmetik di Kelantan disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah dan penggubahan wang haram bukanlah satu perkara yang mengejutkan.
Masalah ini sebenarnya sudah lama berlarutan, bukan hanya di Kelantan, tetapi melibatkan seluruh negara.
Modus operandi sindiket ini agak mudah, iaitu mereka menubuhkan syarikat kosmetik atau menjadikan perniagaan sah sebagai samaran untuk menutup aktiviti haram mereka, termasuk pengedaran dadah dan penggubahan wang haram.
Sebelum ini, media arus perdana pernah melaporkan beberapa pempengaruh, pemilik syarikat kosmetik dan artis terkenal disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana disyaki terlibat dalam sindiket penggubahan wang haram.
Dalam hal ini, pihak berkuasa perlu bertindak tegas dengan menangkap dan mendakwa individu-individu yang terlibat tanpa mengira status mereka sama ada artis, pempengaruh, atau pemilik syarikat kosmetik.
Sudah tiba masanya untuk pihak berkuasa seperti polis, SPRM, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia, Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama-sama dengan kerajaan negeri Kelantan duduk semeja.
Tindakan berkenaan perlu untuk mencari solusi terbaik dalam menangani kes penyeludupan dadah, terutamanya pil kuda yang semakin membimbangkan di Kelantan.
Kepada pempengaruh dan pemilik syarikat kosmetik yang terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah dan penggubahan wang haram, mereka perlu ingat satu pepatah Melayu yang berbunyi, ‘Langit tidak selalu cerah’ dan ‘Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya ke tanah juga’.
Pada masa sama, ibu bapa juga perlu memantau pergerakan anak mereka bagi memastikan golongan muda ini tidak terjebak dengan kegiatan haram terutama penagihan dan pengedaran dadah serta aktiviti tidak bermoral lain.
Ulasan
Catat Ulasan