LHDN kutip RM184.8 bilion


LHDN kutip RM184.8 bilion
ANWAR Ibrahim bersalaman dengan kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri ketika menghadiri sambutan Hari Hasil Ke-29 di Cyberjaya, semalam. – UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA
Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM
11 Mac 2025, 7:00 am

CYBERJAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjaya mencatat kutipan cukai langsung tertinggi berjumlah RM184.805 bilion pada tahun 2024, peningkatan sebanyak RM1.465 bilion dari tempoh sama tahun 2023.

Kutipan cukai pada 2023 ada­­lah sebanyak RM183.3 bi­lion, peningkatan RM7.8 bilion atau 4.49 peratus dari tahun sebelumnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pencapaian berkenaan sekali gus melonjakkan hasil pendapatan negara atas kecekapan badan itu untuk memastikan setiap warganegara memenuhi tanggungjawab membayar cukai tanpa terkecuali.

Beliau berkata, kerajaan ti­dak memberi ruang kepada mana-mana warganegara ter­utama di peringkat atasan dan golongan kaya untuk terlepas daripada membayar cukai ke­rana kebocoran itu tidak berlaku di peringkat rakyat ba­wahan.

“Ini mungkin julung-julung kali berlaku di mana tokoh-tokoh korporat utama tanpa kecuali semuanya diminta memenuhi tanggungjawab mereka membayar hasil.

“Dan saya selaku Perdana Menteri memberikan soko­ngan kuat sehingga tidak ada yang berani merayu kepada. Jadi ini menunjukkan integriti LHDN,” katanya dalam sambutan Hari Hasil Ke-29 di sini, semalam.

Anwar berkata, usaha memastikan pembayaran cukai tidak boleh diremehkan ke­rana pasukan penguat kuasa termasuk pengurusan tentunya tidak akan ada keberanian sekiranya ia tidak mendapat dukungan oleh pemimpin.

“Kalau umpamanya (kutipan cukai dalam kalangan) Tun dan Tan Sri, mereka akan terus menghubungi golongan atasan (di LHDN). Dan orang yang mempunyai tanggungjawab itu mendapat tekanan.

“Saya tidak pernah guna kuasa untuk menyatakan kepada beliau (Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin), memberitahu kepada beliau untuk kurang memberi tekanan atau memenuhi tanggungjawab dan memilih bulu dalam melaksa­nakan tugas.

“Saya tegaskan semula betapa syukur kita kepada Allah SWT dan bertuah dalam negara ini dapat mempertahankan integriti dalam satu lembaga utama negara kita iaitu LHDN,” katanya.

Perdana Menteri berkata, sistem percukaian negara ha­nya dikenakan kepada 15 peratus golongan rakyat, manakala 85 peratus lagi rakyat tidak dikenakan cukai, malah, mungkin hanya 10 peratus atau lima peratus golongan teratas yang benar-benar menanggung cukai negara.

Kata beliau, Malaysia adalah antara negara yang memberikan banyak pelepasan cukai, khususnya kepada golongan B40 dan M40 dengan pertimbangan seperti kos sara hidup, pendidikan dan kesihatan.

“Cukai juga tidak seharus­nya terlalu tinggi hingga membebankan rakyat, kerana jika ia berlebihan, ia boleh me­ngurangkan produktiviti dan menyebabkan orang mencari jalan untuk mengelak daripada membayar cukai.

“Siapa yang harus membayar cukai? Jawapannya ialah mereka yang berkemampuan dan mempunyai pendapatan yang lebih tinggi.

“Jika cukai terlalu tinggi, mereka mungkin akan lari ke negara lain atau mencari helah untuk mengelak,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar me­nempelak Pengerusi Pakatan Nasional (PN), Tan Sri Muh­yiddin Yassin yang mengkritik syarat Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan peruntukan kepada Ahli Parlimen PN yang dikatakan terlalu ketat dan tidak adil.

Perdana Menteri berkata, ruang perbincangan antara pembangkang dan kerajaan sentiasa terbuka.

“Saya dahulu lima mesyua­rat semasa jadi pembangkang. Mesyuarat lah dahulu, draf itu boleh dipinda. Ini hendak bi­sing di luar sebab apa? Nak jadi hero jalanan, belajar dahulu,” katanya. – UTUSAN

Ulasan