Majlis Peguam tolak usul larangan arak tidak wajar


Majlis Peguam tolak usul larangan arak tidak wajar
March 19, 2025

KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya menyifatkan keputusan menolak usul larangan hidangan arak dalam program anjuran Majlis Peguam sebagai sesuatu yang tidak wajar.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, penghargaan harus diberikan kepada barisan peguam yang berani membawa usul tersebut walaupun berdepan cabaran besar, menunjukkan luasnya lapangan dakwah dalam menegakkan Islam tidak hanya terhenti di atas meja kuliah.

“Penolakan usul larangan hidangan arak dalam program yang dianjurkan Majlis Peguam merupakan sesuatu yang tidak wajar.

“Saya difahamkan usul yang hampir sama pernah dikemukakan pada tahun 2017, namun tetap ditolak. Kali ini juga mengalami nasib yang sama,” katanya apabila dihubungi Harakahdaily semalam.

Arak isu sejagat, bukan sekadar isu agama

Pesuruhjaya PAS Kedah itu menjelaskan bahawa isu arak dan bahaya mabuk bukan sekadar persoalan agama, tetapi sudah menjadi masalah sejagat yang memberi kesan kepada keluarga, masyarakat dan negara tanpa mengira latar belakang agama.

“Asasnya, hampir kesemua agama-agama utama yang ada di Malaysia ini tidak membenarkan penganutnya meminum arak. Apatah lagi yang tegar mempertahankan penolakan usul itu adalah daripada orang Islam sendiri,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan hujah bahawa ‘orang bukan Islam’ dibenarkan meminum arak dan menegaskan kenyataan seperti itu perlu dikaji semula.

“Tiada agama yang membenarkan akal, pertimbangan dan rasional penganutnya rosak,” jelasnya.

Sekularisme dan arak ibarat dua sisi syiling sama

Ustaz Ahmad turut mengkritik tanggapan bahawa Majlis Peguam harus kekal sekular dan menyamakan sekularisme dengan arak sebagai punca utama kerosakan pemikiran manusia.

“Kalau arak ibu segala kejahatan dan kerosakan, percayalah bahawa sekularisme pula adalah ibu segala kesesatan pemikiran yang menyimpang kehidupan manusia daripada kebenaran. Kedua-duanya ibarat ‘two sides of the same coin’,” katanya.

Menurutnya, tidak menghairankan apabila laungan sekularisme itu disokong oleh pihak yang percaya bahawa kekal sekular lebih baik daripada menerima sesuatu yang baik untuk fitrah manusia.

Beliau turut menzahirkan sokongan kepada peguam yang memperjuangkan amar ma’ruf nahi munkar dan mendoakan mereka terus istiqamah dalam perjuangan.

“Saya bukan daripada profesion peguam. Tapi saya mendoakan agar peguam-peguam yang memperjuangkan amar ma’ruf nahi munkar supaya kekal sabar dan istiqamah insya-Allah,” katanya.

Terdahulu, media tempatan melaporkan bahawa usul untuk melarang hidangan dan pengambilan alkohol dalam program anjuran Majlis Peguam termasuk peringkat negeri ditolak dalam Mesyuarat Agung Tahunan ke-79.

Peguam, HR Dipendra dilaporkan menegaskan bahawa Majlis Peguam harus kekal sekular, sementara usul itu sebelum ini berhujah bahawa alkohol boleh menjejaskan profesionalisme dan kesihatan ahli. – HARAKAHDAILY 19/3/2025

Ulasan