Malaysia sentiasa sedia hadapi bencana gempa bumi


Malaysia sentiasa sedia hadapi bencana gempa bumi
Oleh Ercy Gracella Ajos - Mac 19, 2025 @ 5:12pm
Pensyarah Kanan Program Geologi, Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Nor Shahidah Mohd Nazer.

KUALA LUMPUR: Malaysia sentiasa bersedia menghadapi ancaman bencana gempa bumi dan kesannya, termasuk tsunami, kata pakar geologi.

Pensyarah Kanan Program Geologi, Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Nor Shahidah Mohd Nazer berkata, negara sentiasa berwaspada kerana menyedari kedudukannya berhampiran dengan kawasan aktif gempa terutamanya di Indonesia.

Beliau berkata, pelbagai tindakan sudah diambil oleh pihak terbabit bagi memastikan Malaysia terus bersedia bagi menghadapi bencana ini di masa mendatang.

"Malaysia sentiasa bersedia kerana kita sedar kedudukan kita berdekatan dengan kawasan aktif gempa.

"Pemasangan sistem amaran awal juga sudah dibuat selain kita juga mempunyai info dan pemakluman bencana melalui portal oleh agensi terbabit.

"Langkah yang perlu diberi perhatian kini adalah orang ramai dinasihatkan mengelakkan kawasan atau tempat berisiko untuk mengurangkan potensi bahaya bagi kejadian luar jangka," katanya kepada BH.


Terdahulu, BH melaporkan, gempa bumi sederhana berlaku di luar pantai barat Sumatera Utara pada jam 6.22 pagi, semalam.

Menurut Jabatan Meteorologi (METMalaysia), gegaran itu dirasai di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

"Bagaimanapun tiada ancaman tsunami kepada Malaysia.

"Gegaran itu berlaku pada koordinat 1.8° Utara dan 99.2° Timur dengan magnitud 5.1 skala Richter pada jarak 41 kilometer (km) Timur dari Sibolga, Indonesia berkedalaman 10km," katanya dalam satu hantaran di Facebook, semalam.

Ulasan