
Mangsa banjir di Johor meningkat mendadak cecah 3,694
Oleh Izz Laily Hussein - Mac 20, 2025 @ 10:09pm
Keadaan banjir semakin buruk di Johor, hari ini. - NSTP/OMAR AHMAD
JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir di Johor meningkat mendadak kepada 3,694 orang membabitkan 917 keluarga, hingga jam 8 malam ini.
Ia berbanding seramai 1,691 mangsa banjir (471 keluarga) yang berlindung di 22 pusat pemindahan sementara (PPS), setakat jam 2 petang tadi.
Malah, jumlah PPS yang dibuka turut bertambah mencecah 84 buah.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani, berkata Kluang juga mula dilanda banjir menjadikan lima daerah terjejas setakat ini, termasuk Kota Tinggi, Johor Bahru, Kulai dan Pontian.

"Johor Bahru mencatat peningkatan jumlah mangsa banjir yang paling besar dengan 1,288 orang (207 keluarga) ditempatkan di 19 PPS.
"Ini diikuti Kota Tinggi dengan 733 mangsa (212 keluarga) di 15 PPS; Pontian 688 orang (192 keluarga) di 19 PPS; Kulai 506 mangsa (159 keluarga) di tujuh PPS; dan Kluang 479 orang (147 keluarga) di 24 PPS," katanya dalam satu kenyataan.
Amaran hujan lebat berterusan tahap buruk telah dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) membabitkan enam daerah di negeri ini.
Keadaan cuaca itu diramalkan melanda daerah Johor Bahru, Kluang, Mersing, Pontian, Kulai dan Kota Tinggi hingga esok.

Amaran hujan berterusan tahap waspada pula dikeluarkan bagi daerah Tangkak, Segamat, Muar dan Batu Pahat, juga dijangka hingga esok.
Pada masa sama, Sungai Batu Pahat, Sungai Endau, Sungai Johor, Sungai Pulai, Sungai Skudai dan Sungai Jemaluang merekodkan bacaan air sungai melepasi paras bahaya.
Semua daerah di negeri ini dilaporkan masih hujan, setakat jam 8 malam ini.
Ulasan
Catat Ulasan