Minyak masak: ‘Kalau pendatang yang kena, kita bising’


Minyak masak: ‘Kalau pendatang yang kena, kita bising’
March 20, 2025

Senator Hussin Ismail

KUALA LUMPUR: Malaysia merupakan salah satu pengeluar minyak sawit terbesar di dunia, kini berada di kedudukan kedua selepas Indonesia.

Namun, Senator Hussin Ismail mempersoalkan mengapa rakyat masih mengalami masalah bekalan minyak masak, sedangkan negara ini menghasilkan minyak sawit dalam jumlah yang besar.

“Saya tiada jawapan bila orang kampung tanya, kenapa bekalan minyak masak tak cukup untuk rakyat sendiri?

“Kalau pendatang asing yang kena, kita bising kata mereka punca masalah. Tetapi sekarang rakyat Malaysia sendiri pun susah nak dapat. Dah tunjuk IC pun masih tak boleh beli. Kita kena faham dan cari jalan penyelesaian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara hari ini.

Sementara itu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Senator Fuziah Salleh berkata, kuota minyak masak bersubsidi adalah sebanyak 60 juta paket sebulan.

“Kuota ini sebenarnya cukup untuk keperluan isi rumah. Tetapi pengguna utama bukan warga asing, sebaliknya industri mikro seperti penjaja,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/3/2025

Ulasan