‘Nasihat royalti dikembalikan, sampai sekarang masih dinafikan’



‘Nasihat royalti dikembalikan, sampai sekarang masih dinafikan’
March 10, 2025

Senator Hussin Ismail

KUALA LUMPUR: Perjanjian royalti petroleum yang dirangka pada masa lalu dinafikan keabsahannya, meskipun ia melibatkan tokoh utama dalam bidang ekonomi dan perundangan negara.

Senator Hussin Ismail berkata, rundingan perjanjian itu pernah dirangka dan ditandatangani oleh individu berpengaruh, namun kini dianggap tidak sah atau tidak mengikut kaedah undang-undang yang betul.

“Seingat saya dalam nota catatan sejarah petroleum, yang merundingkan zaman itu ialah bekas Menteri Kewangan, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, dan yang membuat draf perjanjian ialah bekas Ketua Hakim Negara, Almarhum Tun Mohamed Salleh Abas.

“Macam mana orang yang melakar, menukilkan dan menandatangani perjanjian akhirnya dianggap tidak faham dan tidak betul dari segi undang-undang?

“Tetapi orang lain yang tidak terlibat pula dikatakan lebih betul?” katanya ketika mencelah ucapan Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Negara, di sini, hari ini.

Beliau berkata, walaupun individu yang terlibat secara langsung dalam perjanjian itu kemudian menjadi penasihat yang menyarankan agar royalti dikembalikan, pandangan mereka tetap diketepikan.

“Kedua-dua mereka akhirnya menjadi penasihat yang menasihati supaya royalti ini dikembalikan, tetapi sampai sekarang perkara ini masih dinafikan,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/3/2025

Ulasan