Noraniza Idris sujud syukur dan menangis


Noraniza Idris sujud syukur dan menangis
Oleh Najiy Jefri - Mac 18, 2025 @ 6:18pm
Noraniza (dua kanan) pada Majlis Pelancaran Kerjasama produk Che Ani Premium bersama Mydin

KUALA LUMPUR: "Saya percaya apabila kita diuji pasti ada kemanisan yang akan peroleh."

Demikian kata penyanyi Noraniza Idris yang kini menarik nafas lega apabila dapat meneruskan perniagaannya selepas melalui detik hitam akibat didakwa dianiaya oleh sebuah akademi latihan keusahawanan baru-baru ini.

Noraniza berkata, dia sekeluarga melakukan sujud syukur dan menangis selepas menerima pelawaan daripada pasar raya Mydin sekali gus berjaya menyelamatkan kilangnya daripada hampir ditutup.

"Saya bersyukur di atas peluang ini. Selepas hampir jatuh terduduk dan tak tahu masa depan perniagaan saya dengan hampir nak tutup kilang, tiba-tiba produk saya ditawarkan untuk dijual di Mydin. Ini satu peluang dan rezeki yang cukup luar biasa.

"Saya anggap ini adalah peluang untuk saya memulakan langkah baharu dalam perniagaan. Insya-Allah saya akan cuba jalankan amanah ini dengan sebaik mungkin.

"Ketika pihak Mydin menawarkan dan bersetuju untuk produk saya berada di rangkaian mereka, saya sekeluarga sujud syukur serta menangis atas rezeki yang Allah kurniakan ini," katanya.


Noraniza berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis pelancaran kerjasama produk Che Ani Premium bersama Mydin di Hotel Crystal Crown, Petaling Jaya, Selangor, semalam.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin bersama isterinya.

Menurut Noraniza, dia terkejut apabila mengetahui pasar raya itu berminat dan menawarkan peluang menjual produknya keluarannya itu.

Malah Noraniza memaklumkan, bagi memenuhi permintaan itu, dia kini perlu menambah seramai 32 pekerja untuk membantu menyiapkan tempahan.

Malah, kilang Noraniza juga terpaksa beroperasi selama 24 jam. "Apabila mereka bersetuju dengan kerjasama ini, saya bersyukur namun terkejut dengan tempahan yang mereka mahukan.

"Ini kerana, ketika itu staf saya hanya tinggal empat orang saja. Jadi saya perlu menambah lagi 32 orang.

"Operasi kilang juga terpaksa saya ubah kepada 24 jam tanpa henti bagi memudahkan proses permintaan yang perlu dibuat," katanya.

Sementara itu, Ameer optimis dan sedia menyokong produk tempatan yang berminat untuk menjual produk mereka di rangkaian pasar raya itu.

Sebelum ini, perniagaan Noraniza diduga apabila mendakwa dirinya menjadi mangsa penganiayaan sebuah akademi latihan keusahawanan tahun lalu.

Pada 4 Mac lalu, Noraniza membuat laporan polis terhadap akademi berkenaan dan memberitahu dia serta syarikatnya terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM630,000.

Malah Noraniza memberitahu dia terpaksa merehatkan 20 orang pekerja kerana tidak mampu membayar gaji mereka.

Ulasan