
Ops Kriket 1997 dalam kenangan kolektif para aktivis PAS
March 8, 2025
KEBENCIAN terhadap Zionis seperti mendarah daging sehingga ke tulang hitam kepada aktivis gerakan Islam, apatah lagi sebagai anak muda kail panjang sejengkal yang sarat dengan idealisme dibumbui api semangat yang sedang menyala.
Aku masih ingat dengan jelas wajah-wajah aktivis di Lembah Klang yang jarang gagal untuk hadir ke majlis bantahan awam yang diadakan di pelbagai lokasi di Kuala Lumpur. Jejak sahaja kaki ke Kuala Lumpur, di sana, di universiti paling tua negara ini yang mempunyai reputasi dan sebanjaran koleksi budaya the angry young man.
Budaya ekspresi melalui bantahan ini bermula dengan gerakan pelajar sosialis yang sedang fenomenal, demonstrasi demi demonstrasi membela rakyat jembel digalang dalam dekad 1960-an dan awal 1970-an.
Dekad 1980-an dan 1990-an menyaksikan gerakan pelajar Islam mendominasi kampus tempatan dengan sebanjaran peristiwa fenomena pondok di kampus. Anak-anak muda dengan guratan wajah bersih, mengganggotai usrah, mencintai majlis ilmu dan mempunyai tendensi untuk mengislah masyarakat dengan nilai-nilai Islam.
Bantahan konsert-konsert hedonisme di kampus menjadi di antara aktiviti-aktiviti kami; ini termasuklah membantah konsert penyanyi antarabangsa Tina Turner di Kuala Lumpur; konsert Sudirman di The Royal Albert Hall, London; konsert Sheila Majid di Universiti Malaya; serta konsert M.Nasir juga di Universiti Malaya.
Anak-anak muda juga mengadakan bantahan terhadap darah umat Islam yang tumpah di Afghanistan, Iraq, Sudan, Chechen, Bosnia, Selatan Thailand serta pelbagai tempat di belahan dunia. Paling kerap dibantahi ialah negara adijagat, Amerika Syarikat yang dilihat sebagai state terrorist yang konsisten dalam menzalimi negara-negara umat Islam yang lemah.
Isu-isu rakyat juga turut memicu bantahan awam pelajar kampus seperti isu perobohan Institut Berakan di Kuala Terengganu, isu pengambilalihan tanah rakyat di Tanah Merah, Pantai Kundur dan pelbagai isu rakyat yang lain terutamanya di zaman Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjadi Menteri Pendidikan.
Walaupun tidak sehebat demonstrasi isu rakyat Baling, isu Telok Gong, isu Tasik Utara di Johor Baharu dalam dekad 1970-an namun gerakan mahasiswa tetap berusaha muncul dalam isu-isu masyarakat dalam dekad 90an.
Antara demonstrasi yang berjaya menghimpunkan khalayak yang ramai dalam dekad 90an ialah bantahan Ops Kriket. Pada April 1997 telah berlaku bantahan besar-besaran umat Islam di negara ini terutamanya daripada ahli-ahli PAS terhadap kunjungan pasukan kriket Israel ke negara ini. Telah berlaku beberapa siri bantahan awam terhadap sikap kerajaan membenarkan kemasukan pasukan Israel ke negara ini sedangkan pembantaian terhadap rakyat Palestin terus berlaku.
Beberapa demonstrasi telah diadakan di Dataran Merdeka, Padang Kelab Sukan Kelana Jaya dan kemuncaknya di hadapan pintu masuk utama Universiti Malaya usai solat Jumaat. Acara demonstrasi di tengah sengatan matahari itu adalah kemuncak bantahan awam yang disertai oleh 2,500 orang demonstran.
Sebelum demonstrasi besar di hadapan pintu masuk utama ke Universiti Malaya yang berhujung dengan kepungan pihak polis di Masjid ar Rahman, dua demonstrasi telah diadakan di Dataran Merdeka dan juga Padang Kelab Sukan Kelana Jaya. Demonstrasi di Dataran Merdeka menyaksikan demonstran yang datang sejauh Kelantan, Pulau Pinang dan Kedah. Pihak media kerajaan melaporkan seribu orang terlibat dengan demonstrasi tersebut di mana bendera negara haram Israel telah dibakar oleh penunjuk perasaan.
Berlaku insiden tolak menolak dengan anggota keselamatan tetapi dikawal oleh pimpinan terutamanya Almarhum Ustaz Abu Bakar Chik. Ucapan penuh semangat para pemidato telah menaikkan semangat terutamanya kemuncak pidato daripada Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Acara bantahan di Dataran Merdeka diteruskan dengan perarakan ke Jabatan Perdana Menteri di Kompleks Kerajaan Persekutuan Bukit Perdana, Jalan Dato’ Onn untuk serahan memorandum rakyat yang dipimpin oleh Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang.
PAS mendesak agar dibatalkan visa pemain-pemain kriket Israel bagi menyampaikan mesej bahawa umat Islam membantah kezaliman rejim Zionis yang menjarah tanah suci umat Islam. Memorandum PAS kepada JPM telah diserahkan kepada Dato’ Abdul Aziz Shamsuddin dengan kawalan ketat pihak keselamatan.
Mengetahui pasukan kriket turut berlatih di Padang Kelab Sukan Kelana Jaya, anak-anak muda telah menggempur lokasi tersebut. Terjadi insiden yang memicu perhatian pihak media apabila papan iklan di sekitar padang telah dirosakkan oleh segelintir penunjuk perasaan. Insiden di Padang Kelana Jaya itu menyimbah semangat untuk diadakan bantahan awam yang lebih besar pada hari Jumaat berikutnya dan Masjid ar Rahman telah dipilih untuk mengumpulkan aktivis-aktivis anti Zionis.
Teringat aku pada pagi Jumaat yang hening, jalan utama berhadapan Restoran Amjal di Lembah Pantai telah diparkir kenderaan polis sebagai perang saraf akan berlakunya tangkapan awam sempena bantahan Ops Kriket. Mulai jam 12:00 tengah hari, kerumunan anak muda semakin membesar di sekitar Masjid ar Rahman dengan anggota pihak Cawangan Khas turut berada dalam kesibukan anak muda serta jamaah tetap Masjid ar Rahman.
Masjid yang mula dibina pada tahun 1959 untuk kegunaan masyarakat kampus Universiti Malaya itu juga menjadi ‘markas tidak rasmi PAS’ kepada aktivis-aktivis PAS di kota raya. Pengkuliah PAS dengan nama-nama besar seperti Ustaz Fadhil Nor, Ustaz Abdul Ghani Samsuddin, Ustaz Nik Amar, Ustaz Sidek Noor, Ustaz Dr. Fadlullah Shuib, Ustaz Salahuddin Nasir, Ustaz Azizan Desa, Ustaz Azhar Yaakob serta puluhan yang lain. Masjid Universiti Malaya ini juga seolah-olah Masjid Universiti Tehran yang sentiasa meriah dengan anak-anak muda dan menjadi pusat pelbagai demonstrasi.
Tengahari itu juga diadakan tazkirah Jumaat oleh Ustaz Nazri Mansor, seterusnya khutbah yang menaikkan semangat ahli jamaah masjid. Usai solat Jumaat, kami bergerak ke arah pintu utama Universiti Malaya untuk mendengar pidato pimpinan. Berselang seli dengan laungan takbir dan slogan anti Zionis, sementara pihak polis mengeluarkan arahan supaya peserta himpunan bersurai.
Dentingan loceng kenderaan penyembur air kimia semakin galak manakala doa dibacakan oleh Ustaz Mohd Ali Jamil. Semprotan air kimia serta gas pemedih mata telah dilepaskan ke arah kerumunan penunjuk perasaan sehingga bercempera mereka menyelamatkan diri termasuk ada yang terjun ke arah anak sungai berdekatan masjid.
Pihak keselamatan telah menggempur Masjid Ar Rahman Universiti Malaya pada hari itu dan telah menangkap secara rambang jamaah masjid termasuk peguam Mohamed Hanipa Maidin dan Dr. Fazin, pengerusi masjid yang juga pensyarah UM.
Senggang masa dari jam 2.30 petang sehingga sebelum masuk waktu isyak, pelbagai program diadakan dalam masjid. Pak Cik Amjal serta relawan masjid memasak makanan di dapur masjid. Tatkala senja mulai berlabuh, segelintir pelajar diseludup keluar melalui jalan hutan kecil belakang masjid terutama yang terlibat dengan peperiksaan pada keesokan hari (kini tapak Fakulti Undang-undang UM).
Aku sebagai Setiausaha Dewan Pemuda PAS Lembah Pantai ditugaskan untuk membeli ikan kering untuk dimasak oleh tim dapur. Dalam kegelapan malam ditemani cahaya bulan, dengan ditemani seorang kawan, aku telah meloloskan diri melalui bukit bersebelahan masjid untuk ke pasar malam mingguan Kampung Kerinchi.
Jamaah Ops Kriket yang berkumpul di dalam masjid telah membaca Surah Yaasin dan akhirnya anggota FRU telah menyerbu ke dalam masjid.
Keadaan tegang pada malam tersebut dengan seramai 250 orang penunjuk perasaan telah ditahan. Mereka telah diangkut dengan trak ke beberapa buah balai polis di sekitar Kuala Lumpur, di antaranya Balai Polis Brickfields dan Balai Polis Pantai.
Pantas masa bergulir dalam tempoh 28 tahun ini, ramai kalangan aktivis yang telah kembali ke negeri abadi serta ada yang merosot tahap kesihatan mereka.
Insya-Allah, satu majlis memperingati peristiwa ini akan diadakan pada 13 April ini di Lembah Pantai. LESTARI Pusat dengan kerjasama PAS Lembah Pantai sedang berusaha untuk mengesan seramai mungkin alumni Ops Kriket yang terpencar di seluruh negara.
Semoga himpunan ukhuwwah ini berjaya merakamkan sejarah terutamanya usaha mengembalikan semula bekas penyokong PAS untuk bersama-sama berjuang dengan harakatul ummah ini.
Realitinya, Ops Kriket telah berjaya memperkasa gerakan mahasiswa Islam, juga membantu pemberdayaan kepada gerakan PAS di Lembah Klang di penghujung dekad 90-an.
Setelah 28 tahun berlalu, inilah julung-julung kalinya usaha untuk menghimpunkan peserta-peserta Ops Kriket dilakukan oleh PAS. PAS terus kekal menjadi gerakan Islam yang berjuang di barisan hadapan serta konsisten menentang rejim Zionis serta kuncu-kuncunya.
DR. RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 8/3/2025
Ulasan
Catat Ulasan