
PAS zahir simpati PM Anwar dibantai di media sosial
March 19, 2025
BACHOK: PAS menzahirkan perasaan simpati kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim susulan setiap hantaran berkaitan usaha kerajaan akan dibantai oleh netizen di media sosial.
Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad berkata, keyakinan rakyat tidak terjejas walaupun kerajaan membawa naratif negatif termasuk mendakwa pembangkang mengabaikan kebajikan Islam-Melayu.
“Dia cakap isu apapun netizen bantai dia. Tengok dia kita kesian. Orang balun dia teruk sangat kadang-kadang saya pun tak mampu nak baca teruk sangat, pasai dahulu kita duduk bela dia.
“Dahulu setiap minggu ada demostrasi kena gas pemedih mata. Contoh kita tengok, bukan dia cakap benda pun, dia cakap benda ‘simple’ sahaja, tetapi rakyat tidak boleh terima apa dia cakap,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penghayatan Nuzul al Quran dan Ceramah Badar al Kubra PAS Negeri Kelantan di Kompleks Pendidikan Islam (KPI) Kampung Badak, di sini malam tadi.
Turut hadir Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud dan Naib Presiden PAS, Dato’ Sri D’Raja Mohd Amar Abdullah; Pesuruhjaya PAS Negeri, Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob.
Terdahulu Ahli Parlimen Bagan Serai itu mempertikai kenyataan Perdana Menteri mengenai cadangan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA), kononnya pembangkang membiarkan Melayu bandar hidup merempat.
Bagaimanapun beliau berkata, kerajaan sepatutnya perlu beri penjelasan sebaik mungkin termasuk kaum yang tinggal di bandar, akan terjejas kehidupannya kelak sekiranya akta itu mahu dilaksanakan.
“Kita sudah lihat bagaimana negara kita diperintah oleh PH, di hadapan kita lihat terang-terang terbaru mereka merancang untuk nak buat satu akta dikenali URA, konon atas nama pembaharuan bandar.
“Tak apa bukan kita tak setuju tetapi duduk bawa naratif dia kononnya pembangkang nak membiarkan orang Melayu merempat di bandar, siapa dia yang biarkan, dia cuba bawa naratif ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/3/2025
Ulasan
Catat Ulasan