
Pemimpin Arab lulus pelan lengkap pemulihan Gaza bernilai RM235 bilion
RAKYAT Palestin sedang berbuka puasa di luar khemah perlindungan di Beit Lahiya di utara Gaza, kelmarin.- AFP
Oleh Wartawan Luar Negara
6 Mac 2025, 8:00 am
KAHERAH: Pemimpin Arab meluluskan pelan pemulihan Gaza bernilai AS$53 bilion (RM235 bilion) sebagai tindak balas terhadap cadangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk mengambil alih wilayah itu dan memindahkan lebih dua juta penduduk Palestin.
Keputusan itu dicapai dalam sidang kemuncak tergempar yang berlangsung di ibu negara Mesir, Kaherah kelmarin.
“Pelan Mesir kini menjadi pelan dunia Arab,” kata Setiausaha Agung Liga Arab, Ahmed Aboul Gheit, selepas perbincangan panjang selama beberapa jam.
Tanpa menyebut secara langsung cadangan Trump, beliau menegaskan pendirian Arab adalah untuk menolak sebarang pemindahan penduduk, sama ada secara sukarela atau paksaan.
Mesir menyediakan satu pelan terperinci dalam dokumen setebal 91 muka surat, yang mengandungi imej kawasan kejiranan hijau dan bangunan awam megah bagi menandingi konsep ‘Riviera Asia Barat’ yang mahu diperkenalkan Trump.
Apa yang membezakan pelan itu, ia bukan sekadar pembangunan hartanah, tetapi berlandaskan politik serta hak rakyat Palestin.
Menurut rancangan tersebut, Gaza akan ditadbir buat sementara waktu oleh satu jawatankuasa pengurusan di bawah kerajaan Palestin, yang terdiri daripada pakar teknokrat berkelayakan.
Isu keselamatan yang sensitif dalam pelan itu turut ditangani dengan menyeru Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk menempatkan pasukan pengaman antarabangsa di Gaza.
Pelan berkenaan akan dilaksanakan dalam tiga fasa, melibatkan peringkat pemulihan awal selama enam bulan yang akan tertumpu kepada usaha membersihkan runtuhan besar serta pelupusan bahan letupan.
Dua fasa seterusnya dijangka mengambil masa beberapa tahun untuk diselesaikan.
Sepanjang tempoh ini, kira-kira 1.5 juta rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal akan ditempatkan di kontena sementara yang direka sebagai unit perumahan moden dengan landskap menarik.
Kaherah juga mengambil inspirasi pelbagai sumber untuk merealisasikan pelan ini termasuk pakar Bank Dunia dalam bidang kelestarian serta pemaju Dubai dalam sektor perhotelan.
Reka bentuk yang dicadangkan juga banyak dipengaruhi oleh pengalaman Mesir dalam membangunkan ‘New Cairo’, sebuah projek mega yang menyaksikan pembinaan ibu kota pentadbiran baharu di tengah-tengah padang pasir dengan kos yang amat tinggi.
Satu persidangan antarabangsa utama akan diadakan bulan depan bagi mengumpul dana besar yang diperlukan untuk membiayai projek pemulihan itu.
Negara-negara kaya di Teluk dilihat bersedia untuk menanggung sebahagian besar kos yang tinggi ini namun hanya akan melabur sekiranya mereka yakin pembangunan ini tidak akan musnah dalam satu lagi konflik bersenjata.
Gencatan senjata rapuh, yang kini berada di ambang kegagalan, hanya menambahkan lagi kebimbangan tersebut.-AGENSI
Ulasan
Catat Ulasan