

Berita
Pemuda Umno tegur Mat Sabu: Kamu tambah kesusahan rakyat
Diterbitkan: Mar 4, 2025 9:13 PM
Dikemaskini: 9:13 PM
Ketika isu kekurangan beras tempatan di pasaran terus menjadi perhatian Pemuda Umno Malaysia sekali lagi menghidupkan semula cadangan untuk memecahkan monopoli yang dipegang oleh syarikat Padibeas Nasional Bhd (Bernas).
Memetik kenyataan Mohamad Sabu, exco pergerakan itu, Wan Zuhir Ghazali, berkata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan terbabit perlu bertanggungjawab kerana ia melibatkan sebahagian besar rakyat negara ini.
Katanya rakyat negara ini sedang terjejas teruk dengan apa yang berlaku sekarang.
“Apabila ditanya ke mana beras tempatan hilang, menteri jawab: tindakan mencampur beras memang menjadi amalan sejak 1970-an.
“Rakyat sudah susah, kamu buat lagi makin susah dengan putar belit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Wan Zuhir, setiap sen yang keluar dari poket rakyat mesti diambil kira oleh kerajaan.
“Saya mencadangkan untuk menstruktur semula Bernas dan menggalakkan pemain industri baru yang lain.
“Bernas sebagai satu-satunya pihak yang mengawal import dan pengedaran beras perlu distruktur semula bagi memastikan ia tidak menghalang persaingan sihat dalam industri,” katanya.
Justeru katanya, Pemuda Umno mencadangkan agar fungsi Bernas diubah daripada menjadi pemegang monopoli kepada menjadi syarikat memantau import dan pengedaran beras.

Pergerakan itu juga, kata Wan Zuhir, mencadangkan supaya koperasi milik pesawah atau syarikat swasta tempatan dilbatkan dalam pengimportan dan pengedaran beras.
Kerajaan juga, katanya, perlu menetapkan kuota khas untuk memastikan 60 peratus pasaran domestik dibekalkan dengan beras tempatan.
Selain itu, tambah Wan Zuhir, penyelesaian jangka pendek mungkin memerlukan kerajaan memperkenalkan subsidi bersasar untuk beras, sama ada dalam bentuk pemindahan tunai atau kaedah lain yang difikirkan sesuai.
“Berapa lama lagi rakyat perlu memikul beban kenaikan harga beras kerana kurangnya penguatkuasaan kerajaan?” katanya.
Timbulkan tanda tanya
Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah menggariskan pemecahan monopoli sedia ada ke atas rantaian bekalan - kebanyakannya dikaitkan dengan elit yang berkaitan dengan politik - sebagai antara keutamaan pentadbirannya sejak membentuk kerajaan pada 2022.
Dalam pentadbiran terdahulu, konsesi Bernas dilanjutkan untuk tempoh 10 tahun bermula 11 Jan 2021 hingga 10 Jan 2031.
Sementara itu Pemuda PAS pula menggesa kerajaan memperhebatkan operasi pemantauan dan penguatkuasaan serta memastikan tiada manipulasi harga atau penimbunan stok sehingga menjejaskan bekalan beras di pasaran.
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Nadzir Helmi, berkata sebanyak RM 150 juta diperuntukkan untuk menstabilkan bekalan dengan sasaran pengeluaran 24 juta kampit mengandungi 10kg beras putih tempatan yang dijual pada harga RM 2.60 sekilogram.
Namun, katanya, Pemuda PAS mendapati sehingga kini masih terdapat banyak aduan daripada rakyat bahawa beras tempatan masih tidak kelihatan di pasaran secara meluas.
Tambahnya, ada laporan bahawa beras tempatan sudah dijual di beberapa pasar raya di Terengganu, Kedah dan Perlis namun pengedarannya tidak menyeluruh atau lewat berada di dalam pasaran.

“Keadaan ini menimbulkan tanda tanya mengenai keberkesanan mekanisme pengagihan yang telah dirancang oleh kerajaan, terutama dalam memastikan kumpulan sasar mendapat manfaat seperti yang dijanjikan.
“Selain itu, terdapat juga beberapa tempat yang tidak mempunyai bekalan yang mencukupi seperti di Kedah.
“Justeru Pemuda PAS menggesa kerajaan, khususnya Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan pihak berkuasa berkaitan untuk segera menjelaskan kelewatan ini serta mengambil langkah konkrit bagi memastikan beras bersubsidi dapat diakses oleh rakyat secara adil dan menyeluruh,” katanya.
Nadzir berkata, Pemuda PAS menggesa kerajaan mempertingkatkan pemantauan dan penguatkuasaan dalam rantaian bekalan beras bagi memastikan tidak berlaku sebarang manipulasi harga atau penyimpanan stok yang boleh menjejaskan bekalan kepada pengguna.
Ulasan
Catat Ulasan