Penguatkuasaan lemah, bertindak bila jadi bualan rakyat


Penguatkuasaan lemah, bertindak bila jadi bualan rakyat
March 6, 2025
Share
Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR: Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) menggesa agensi kerajaan agar lebih proaktif dalam melaksanakan penguatkuasaan dan tidak hanya bertindak selepas isu dibangkitkan oleh rakyat atau media.

Tegasnya, kelewatan bertindak terhadap sesuatu kes menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat, seolah-olah tindakan hanya diambil setelah mendapat tekanan luar.

“Apabila sesuatu isu timbul dan menjadi bualan rakyat, barulah agensi bertindak. Ini mencerminkan kelemahan sistem pengurusan dan penguatkuasaan.

“Sepatutnya, tindakan diambil secara konsisten dan tidak perlu menunggu desakan masyarakat,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Iltizam Kecelapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau merujuk kepada kes pelawak Harith Iskander yang didenda RM10,000 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) setelah isu berkenaan berlarutan selama dua bulan tanpa tindakan jelas.

“Saya ambil contoh dalam isu yang melibatkan seorang pelawak, isu Harith Iskander, yang telah pun didenda RM10,000. Selama dua bulan kes ini berlaku, tetapi dua hari lepas SKMM kata kes ini masih dalam siasatan.

“Masih dalam siasatan tapi bila dibangkitkan, akhirnya elok-elok sahaja semalam diumumkan didenda RM10,000,” katanya.

Selain itu, ujarnya tidakan itu dilakukan selepas timbulnya isu berkiatan tiga DJ radio yang dikatakan menghina agama Hindu.

“Hantarannya itu dua hari lepas masih belum lagi diturunkan. Apabila berlaku satu kes lain melibatkan tiga DJ radio yang dikatakan ada membuat penghinaan, saya ingin kaitkan bahawa ini persepsi rakyat.

“Seolah-olah bahawa adanya suatu kelemahan dalam mengadakan tindakan. Jadi bila orang tanya apa pula tindakan terhadap isu penghinaan yang telah berlaku dua bulan lepas, akhirnya diumumkan selepas waktu berbuka puasa diupload dalam SKMM, mereka (Harith Iskandar) didenda RM10,000,” ujarnya.

Menurut Ahmad Fadhli, rakyat melihat tindakan agensi kerajaan seolah-olah hanya berlaku apabila sesuatu isu mendapat perhatian umum, bukan berdasarkan ketegasan dan kecekapan penguatkuasaan sejak awal.

“Kita tidak mahu situasi di mana tindakan hanya diambil kerana takutkan reaksi rakyat, bukan kerana tanggungjawab dan prinsip keadilan,” tegasnya.

Beliau turut menggesa kerajaan memastikan bahawa sistem pentadbiran dan penguatkuasaan berfungsi secara telus dan efektif agar setiap tindakan diambil mengikut prosedur yang jelas, bukan berdasarkan tekanan atau desakan politik dan masyarakat. – HARAKAHDAILY 6/3/2025

Ulasan