Peringatan terbuka kepada TikTok
Oleh Mohamad Azlan Jaafar
3 Mac 2025, 7:07 am
BARU-BARU ini, platform media sosial TikTok menggantung lebih 23 akaun syarikat media tempatan. Tindakan itu dibuat atas dakwaan semua media terbabit memaparkan kandungan yang berlawanan dengan kod kandungannya.
Kandungan yang dirujuk itu membabitkan berita jenayah seorang kanak-kanak yang dicabul di dalam masjid di Batang Kali, Hulu Selangor. Penjenayah lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) masalah pembelajaran yang melakukan perbuatan keji itu sudah ditangkap dan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Jumaat lalu.
Kesemua media arus perdana yang masih digantung oleh TikTok telah memaparkan berita penangkapan selain apabila lelaki itu diheret ke mahkamah. Cuma kandungan itu tidak wujud dalam TikTok, sekali gus menidakkan kandungan berita kepada beberapa juta pengguna TikTok yang mengikuti media tempatan terlibat.
Sehingga hari ini akaun TikTok Utusan Malaysia dan platform saluran berita Media Mulia Sdn Bhd, MMTV masih digantung. Bila ia akan “dibebaskan” tidak diketahui.
Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut campur tangan bagi menyelesaikan isu ini secara menyeluruh. Satu pertemuan akan dirancang hari ini antara ketua pengarang syarikat media dengan TikTok.
Satu sumber menyatakan TikTok menggunakan kecerdasan buatan (AI) yang secara rawak telah mengesan kandungan kanak-kanak yang dicabul di masjid. AI menganggap ia kandungan yang melanggar peraturan platform media sosial berkenaan.
Adalah menjadi standard wartawan media arus perdana untuk menyiarkan berita jenayah termasuk membabitkan kanak-kanak tetapi tetap melindungi identiti peribadi mangsa di bawah umur. Ini termasuk tidak memaparkan wajah kanak-kanak mangsa jenayah. Polisi itu selaras dengan undang-undang negara. Tiada perundangan yang melarang pelaporan jenayah membabitkan kanak-kanak.
Mungkin AI digunakan TikTok terlalu bodoh untuk membezakan antara berita sah yang mengikut undang-undang negara ini berbanding ratusan ribu atau jutaan kandungan pornografi kanak-kanak yang dijaja di platform itu.
Beberapa tahun lalu, TikTok datang ke syarikat media seperti Media Mulia untuk menjadi rakan dalam menyediakan kandungan sahih. Ketika itu TikTok tidak lebih satu platform kandungan ronggeng yang membuat orang ketawa. Aksi ronggeng dan lagu.
Kandungan sahih syarikat akhbar seperti Utusan Malaysia memberikan kredibiliti kepada TikTok dan semua platform media sosial lain. Beberapa bulan lalu akaun Facebook Utusan Malaysia sendiri digantung dan 2.5 juta pengikutnya dinafikan hak kandungan berita sah yang tidak melanggar mana-mana undang-undang negara ini.
TikTok harus sedar, kandungan yang diwujudkan membabitkan kos. Kandungan yang dicari dan difesyen dalam format TikTok adalah kos untuk syarikat media. TikTok dan platform media sosial adalah “worthless” tanpa kandungan syarikat media. Anda tidak pernah mengeluarkan sebarang berita seumur hidup. Adakah anda membayar satu sen pun kepada syarikat media tempatan untuk semua kandungan yang memberikan berbilion trafik ke platform TikTok? Tidak!
Hanya kerana TikTok pemilik platform tidak bermakna syarikat media menjadi hamba kepada TikTok serta platform media sosial. Pengikut TikTok yang mahukan kandungan lebih daripada “aksi ronggeng” yang tiada makna. TikTok harus sedar perkara itu. Jika tiada penyelesaian yang memberi keadilan kepada Utusan Malaysia dan seluruh media tempatan, akhbar ini akan menutup akaun TikToknya.
Akhbar ini milik pembaca. Setiap kandungan dihasilkan untuk pembaca. Ia tidak boleh menjadi hamba kepada platform asing yang sesuka hati menekan suis “on” dan “off”. Ini peringatan untuk TikTok dan semua platform media sosial di luar sana. Akhbar bukan hamba anda!
Mohamad Azlan Jaafar adalah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd.
Ulasan
Catat Ulasan