PKR persoal keputusan Warisan bergerak solo hadapi PRN Sabah


Berita
PKR persoal keputusan Warisan bergerak solo hadapi PRN Sabah
Diterbitkan: Mar 11, 2025 4:04 PM
Dikemaskini: 4:04 PM

Selepas Warisan mengumumkan untuk bergerak secara solo bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) di Sabah tidak lama lagi, PKR hari ini mengingatkan parti itu mengenai keberadaan mereka dalam kerajaan perpaduan.

Pengarah Komunikasi PKR, Lee Chean Chung, berkata sebelum membuat keputusan muktamad Warisan sepatutnya memberikan penjelasan yang telus dan bertanggungjawab.

Katanya ketika kerajaan menghormati proses demokrasi dan Warisan berhak menentukan hala tuju politik parti itu, ada aspek lain yang mesti diambil kira.

Menurut Lee, salah seorang ahli parlimen Warisan, Mohammad Yusof Apdal, kini berada dalam pentadbiran kerajaan pusat dan menduduki jawatan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.


Jika memilih untuk bergerak sendirian dalam PRN Sabah nanti, kata Lee, adakah ahli Warisan yang memegang jawatan dalam kerajaan persekutuan perlu meletakkan jawatan sebagai tanda konsistensi dalam pendirian politik mereka.

“Warisan perlu membuat pengumuman yang jelas: adakah mereka ingin terus menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan, atau menarik diri dan menjadi pembangkang sebelum PRN?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 9 Mac lalu Warisan mengumumkan keputusan mereka untuk tidak bekerjasama dengan mana-mana parti bagi menghadapi PRN yang akan berlangsung tahun ini.

Langkah itu diumumkan presidennya, Mohd Shafie Apdal, di Lahad Datu, Sabah.

Saran pertimbang semula keputusan

"Kita (Warisan) nyatakan tidak pernah ada perbincangan atau keputusan bergabung dengan mana-mana parti.

"Kita tawarkan keupayaan kita. Mungkin kita tidak banyak duit, tapi kita pemimpin orang Sabah di sini.

“Tidak kira bangsa, sama ada Kadazandusun Murut, Brunei, Kedayan, Bajau, semuanya di sini," katanya.

Dewan Undangan Negeri Sabah akan terbubar selewat-lewatnya Okt tahun ini bagi membuka ruang PRN dijalankan.

Warisan ditubuhkan oleh Mohd Shafie rentetan daripada penggantungan keahliannya oleh Umno pada 24 Jun 2016 semasa parti itu berdepan krisis berpunca daripada skandal 1MDB.

Mohd Shafie merupakan Naib Presiden Umno pada ketika itu. Dia kemudian mengumumkan keluar dari Umno pada 4 Julai 2016 sebelum menubuhkan Warisan pada Okt tahun berkenaan.

Parti itu kemudian bekerjasama dengan PH bagi mengharungi PRU ke-14.
Mohammad Yusof Apdal

Kata Lee dengan ketetapan diumum Mohd Shafie baru-baru ini, rakyat mahu tahu adakah Warisan sebenarnya mahu keluar dari kerajaan perpaduan atau bermain dengan dwiperanan - menikmati sumber kerajaan sambil bertindak seperti pembangkang.

"Mana-mana parti yang tidak mempunyai pendirian yang jelas akhirnya akan kehilangan kepercayaan rakyat.

"Saya menyeru Warisan supaya mempertimbangkan semula keputusan mereka dengan teliti dan mengutamakan kesejahteraan rakyat Sabah.

"Jangan biarkan kepentingan politik peribadi mengatasi kestabilan dan pembangunan negeri," katanya yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya.

Ulasan