
PMX dan politik ‘sesumpah’: Retorik tanpa bukti
March 4, 2025
GOMBAK: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) sekali lagi membuktikan sifat retorik dan hipokritnya apabila mengatakan tiada kemajuan dilakukan oleh PAS di Kelantan walaupun menjadi kerajaan negeri dalam tempoh yang lama.
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Gombak, Mohd Suffi Kamari mempersoalkan sama ada PMX sudah ‘nyanyuk’ selepas menegur pihak pembangkang agar tidak menyalahgunakan kebebasan bersuara untuk menyebarkan fitnah baru-baru ini.
“Namun, kelmarin beliau sendiri membuat tuduhan bahawa ketika PAS menjadi Kerajaan Persekutuan selama 33 bulan, projek tebatan banjir diberikan secara rundingan terus untuk kepentingan peribadi.
“Pemuda PAS Gombak dilema dengan kemusykilan dan kekeliruan, apakah perlu kagum atau menyampah dengan kepakaran PMX merubah karakter, gaya bahasa dan penampilan kerana sifat ini sangat jarang dan begitu langka dimiliki oleh manusia sebaliknya sangat sinonim dengan sifat sesumpah.
“Barangkali faktor memakan beras campur yang menjadikan kami kecelaruan perasaan sebegini. Apakah kalian normal sahaja?” sinisnya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, PMX seharusnya mengemukakan bukti kukuh sekiranya dakwaan yang dilontarkan itu benar, susulan tiada seorang pun pemimpin PAS diheret ke mahkamah atas tuduhan tersebut.
“Ini menimbulkan persoalan mengenai asas dakwaan tersebut dan mencerminkan mentaliti lapuk dan amalan politik tidak beretika yang bersandarkan fitnah semata-mata. Malangnya ianya masih dipraktikkan oleh individu yang bertaraf Perdana Menteri.
“Pemuda PAS Gombak tertanya-tanya, apakah Perdana Menteri Malaysia tidak mempunyai pasukan penasihat kerana SPRM telah mengesahkan tuduhan PN (Perikatan Nasional) menerima dana judi oleh PMX adalah tidak berasas dan tiada bukti yang ditemui hingga kini.
“Malah pada 2017, SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) telah mendedahkan daripada 92 siasatan kepada pimpinan parti politik, PAS tidak terpalit dengan sebarang siasatan, sebaliknya BN dan PH masing-masing 72 dan 21 siasatan.
“Demikianlah era Madani, rakyat perlu beradaptasi dengan kemusykilan dan kecelaruan. Barangkali emoji ‘gelak’ yang memenuhi hantaran berkait PMX adalah ekspresi kagum kepada Perdana Menteri bukannya ekspresi sindir atau menyampah,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/3/2025
Ulasan
Catat Ulasan