Polis bongkar iklan pelaburan palsu di Facebook, guna teknik 'deepfake'



Polis bongkar iklan pelaburan palsu di Facebook, guna teknik 'deepfake'
Oleh Nor Azizah Mokhtar - Mac 6, 2025 @ 11:28am
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan satu iklan pelaburan dipercayai palsu diiklankan di Facebook, dipercayai bertujuan memperdaya orang ramai dengan menjanjikan pulangan keuntungan 'luar biasa'.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata iklan yang dimuat naik melalui laman Facebook 'Gentle Edge' itu memaparkan sebuah video yang kononnya adalah laporan berita mengenai skim pelaburan baharu terbuka untuk rakyat Malaysia.

"Skim itu didakwa diperkenalkan oleh tokoh perniagaan terkenal, Elon Musk, dan hanya memerlukan pelabur membuat pelaburan serendah RM1,200 bagi memperoleh keuntungan sehingga RM100,000 sebulan.

"Lebih membimbangkan, skim pelaburan terbabit turut didakwa telah mendapat kelulusan daripada kerajaan Malaysia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, semakan lanjut pihaknya mendapati terdapat video memaparkan Elon Musk dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, memberikan ulasan berhubung manfaat skim pelaburan itu dipercayai adalah palsu dan dihasilkan menggunakan teknologi 'deepfake'.

"Kami yakin video berkenaan sudah dimanipulasi oleh sindiket penipuan pelaburan bagi mengelirukan mangsa dan meyakinkan mereka supaya membuat pelaburan tanpa berfikir panjang," katanya.

Ramli berkata, hasil siasatan lanjut mendapati pautan yang disertakan pada iklan pelaburan itu akan membawa pengguna ke satu lagi laman Facebook lain yang mendakwa menawarkan skim pelaburan menggunakan platform Quantum AI.

"Pelabur yang berminat akan diminta mengisi maklumat peribadi seperti nama, e-mel dan nombor telefon di ruangan yang disediakan sebelum dihubungi oleh pihak penganjur pelaburan untuk tindakan selanjutnya.

"Ini adalah taktik lazim sindiket penipuan pelaburan dalam memperdaya mangsa, iaitu dengan memaparkan iklan di laman sosial, menggunakan video individu terkenal yang telah dimanipulasi, serta menghubungi mangsa secara terus untuk meyakinkan mereka," katanya.

Beliau menegaskan, semua skim pelaburan yang dipaparkan melalui media sosial adalah penipuan dan orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah terpedaya dengan janji pulangan tinggi dalam masa singkat.

"Ingat, apa yang perlu diragukan bukanlah sama ada sesuatu skim pelaburan itu sahih atau tidak, tetapi bagaimana ia boleh menjanjikan pulangan luar biasa seperti pelaburan RM1,200 yang mampu menjana keuntungan RM100,000 sebulan.

"Ia jelas sesuatu yang mustahil dan merupakan perangkap yang digunakan sindiket bagi mengaut keuntungan secara haram," katanya.

Ulasan