Protes antikerajaan meletus di Turkiye


Protes antikerajaan meletus di Turkiye
PENYOKONG Ekrem Imamoglu menyertai demonstrasi membantah penahanannya berhubung siasatan rasuah di Istanbul, kelmarin.-AFP
Oleh Athirah Huda Zalhe
20 Mac 2025, 9:29 pm

ANKARA: Protes tercetus di Turkiye selepas pihak berkuasa menahan Datuk Bandar Istanbul, hanya beberapa hari sebelum beliau dijangka dipilih sebagai calon presiden.

Pemimpin Parti Rakyat Republikan (CHP), Ekrem Imamoglu, dilihat sebagai salah seorang pencabar politik terkuat kepada Presiden, Recep Tayyip Erdogan.

Pendakwa raya menuduhnya terlibat dalam rasuah dan membantu kumpulan pengganas, serta melabelnya sebagai ‘suspek ketua organisasi jenayah’.

Polis menahan 100 individu termasuk ahli politik, wartawan dan ahli perniagaan sebagai sebahagian daripada siasatan tersebut, sementara pejabat gabenor Istanbul mengenakan sekatan selama empat hari di bandar itu.

Imamoglu dalam kenyataan secara dalam talian menegaskan, kehendak rakyat tidak boleh didiamkan.

Penunjuk perasaan mengadakan protes di jalanraya, kampus universiti dan stesen kereta api bawah tanah, dengan melaungkan slogan antikerajaan dalam gelombang kemarahan yang jarang berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini.


Menurut laporan, berlaku pertempuran antara penunjuk perasaan dan polis di Istanbul.

Rakaman daripada agensi berita Reuters menunjukkan polis menggunakan pemedih mata untuk menyuraikan orang ramai di luar Universiti Istanbul.

Kerajaan melarang perhimpunan awam di Istanbul sebagai sebahagian daripada sekatan selama empat hari, namun lebih banyak protes dijangka berlaku di seluruh negara selepas pemimpin pembangkang menggesa rakyat bersuara menentang ketidakadilan.

Beberapa jalan utama di Istanbul juga ditutup kepada lalu lintas, sementara beberapa laluan metro turut dihentikan perkhidmatannya.

Dalam video di media sosial yang dirakam ketika polis berada di luar rumahnya, Imamoglu berikrar untuk kekal teguh demi rakyat Turkiye dan semua yang mempertahankan demokrasi serta keadilan di seluruh dunia.

Menerusi tulisan tangan dimuat naik ke akaun X selepas penahanannya, beliau menegaskan rakyat Turkiye akan membalas pembohongan, konspirasi dan perangkap dikenakan terhadapnya.

Sementara itu, badan pemantau internet berpangkalan di United Kingdom, NetBlocks melaporkan, akses media sosial seperti X, YouTube, Instagram dan TikTok di Turkiye disekat secara ketat sejak kelmarin.–AGENSI

Ulasan